... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

27.12.11

SBPA Sepintas Lalu

SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

  1. Sistem Saraan Malaysia telah bermula sejak tahun 2002 dan SBPA menggantikannya mulai 2012.
  2. Dalam SBPA struktur gajinya ada tiga jenis iaitu Gaji Single Point (ini untuk jawatan premier), Gaji Minimum-Maksimum (untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi JUSA dan JGK), dan Gaji Sebaris (untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana)
  3. Apabila menerima SBPA, dalam pemindahan gaji dari SSM/SSB/JKK ke SBPA perbezaannya tidak kurang daripada satu (1) Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal (SSM/SSB/JKK). Ini termasuk mereka yang sudah berada di tangga gaji maksimum.
  4. Di bawah SBPA hanya satu (1) jenis Pergerakan Gaji Tahunan diberikan iaitu Pergerakan Gaji Biasa. Pegawai yang tidak mencapai prestasi yang ditetapkan tidak layak menerima pergerakan gaji.
  5. Tiada lagi Jadual Gaji KUP diwujudkan untuk kes-kes kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan, pertukaran sementara, peminjaman, pertukaran tetap dan Peningkatan Secara Lantikan (PSL).
  6. Prinsip, kadar dan syarat-syarat bayaran Imbuhan Tetap yang berkuat kuasa dikekalkan di bawah SBPA.
  7. Kemudahan adalah diberi atas prinsip keistimewaan dan bukan merupakan hak seseorang pegawai. Ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa jika perlu. Semua kemudahan yang berkuat kuasa dikekalkan
  8. SBPA memperkenalkan dasar bekerja dari rumah
  9. Calon yang dilantik secara tetap dikehendaki berkhidmat dalam percubaan antara enam (6) bulan hingga 24 bulan. Pegawai boleh disahkan dalam perkhidmatan setelah melalui tempoh percubaan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan memenuhi syarat pengesahan lain yang ditetapkan.
  10. SBPA memperkenalkan Program Transformasi Minda (PTM) sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam Perkhidmatan Awam. Ia menggantikan Kursus Induksi.
  11. Sukatan peperiksaan bagi Subjek Umum dalam Peperiksaan Perkhidmatan diklasifikasikan kepada tiga (3) tahap keperluan penguasaan iaitu asas, pertengahan dan lanjutan.
  12. Penilaian Prestasi meliputi penggunaan kaedah pelbagai penilai (multi-rater) dan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators).
  13. Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang diperkenalkan bagi mengiktiraf sumbangan pegawai yang melangkaui kebiasaan kepada perkhidmatan, masyarakat dan negara.
  14. Kerajaan memperkukuhkan dasar pemisah dengan mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah. Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.
  15. SBPA memansuhkan dasar pelepasan dengan izin dan menggantikannya dengan dasar pelepasan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2012.
  16. Opsyen yang dibuat oleh pegawai adalah muktamad.
Namun begitu tahukah anda bahawa:
  1. Jika anda dilantik pada atau sebelum 12 April 1991 dan masih bekerja pada usia 50 tahun, hakikat sebenarnya anda hanya dibayar 'separuh gaji'
  2. Laluan Cemerlang tidak akan dilaksanakan lagi di bawah SBPA
  3. PPP DG2-2 (DGA34) adalah juga layak dipertimbangkan kenaikan pangkat ke jawatan PPP Gred DG2-3 (Guru Kanan)

5.12.11

Program Pensiswazahan Guru: Guru Besar diminta membuat proses sokongan



Semua Guru Besar terlibat diminta membuat proses sokongan permohonan guru di bawah pentadbiran masing-masing . Tempoh sokongan atas talian ini adalah daripada 01 DISEMBER 2011(KHAMIS) hingga 06 DISEMBER 2011 (SELASA).
Hanya untuk tindakan KETUA JABATAN SAHAJA, sila rujuk A.Kriteria Penyokong. Sekiranya ada masalah atau soalan, sila klik pada C.Bantuan.

Lakukannya di sini.

4.12.11

MAKLUMAN SBPA

Sukacita dimaklumkan bahawa Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditempatkan dan dihebahkan secara serentak menerusi portal/laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MAMPU dan semua kementerian apabila tiba masanya nanti.

Dalam tempoh ini, tumpuan utama penyampaian laman ini adalah ke atas penyebaran Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang merangkumi perkhidmatan Perjawatan Awam Umum, Guru dan PDRM.

Semua penjawat awam adalah dinasihatkan untuk mengutamakan capaian terus ke portal/laman web kementerian masing-masing bagi memastikan proses hebahan Pekeliling SBPA ini berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.

Jabatan Perkhidmatan Awam
02 Disember 2011
Putrajaya

http://www.interactive.jpa.gov.my/sbpa/?utm_source=Interactive&utm_medium=link&utm_term=SBPA%2Btest-drive&utm_content=textlink&utm_campaign=SSM

25.11.11

Aturcara Majlis Rasmi Sekolah

Semua sekolah dikehendaki mematuhi ketetapan dalm menyususn aturcara bagi semua majlis rasmi sekolah seperti Hari Ucapan, Ucapan Hari Penyampaian Hadiah, Hari Ibubapa, Hari Perasmian Sekolah, Hari Sukan dan sebagainya.
  1. Penyampaian ucapan hendaklah dilakukan *TIGA pihak sahaja
  2. Bacaan doa (jika ada) hendaklah tepat dan ringkas
  3. Semua majlis hendaklah diatur supaya berakhir selewat-lewatnya pada jam 6.00 petang
* Dalam keadaan biasa:
  1. Pengetua/Guru Besar
  2. Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru atau {engerusi Lembaga Pengurus Sekolah
  3. Tetamu Khas
Namun jika majlis dihadiri oleh DYMM Sultan atau TYT Yang diPertua Negeri, maka penyampaian ucapan hendaklah dilakukan oleh pihak-pihak yang berikut sahaja:
  1. Pengetua/Guru Besar
  2. Wakil Kementerian Pelajaran
  3. DYMM Sultan atau TYT Yang Dipertua Negeri
- Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 10/1989

Penurunan Kuasa Kemasukan Murid ke Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan, KPM

Jabatan Pelajaran Selangir melalui suratnya JPNS.MEN600-1/45Jld.2(1) bertarikh 30 Mei 2011 telah memeutuskan bahawa urusan kemasukan murid dari sekolah agama/kerjaan negeri/sekolah persendirian dan belajar semula ke sekolah rendah/menengah bantuan penuh kerajaan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing mulai 1 November 2011.

JPNS.MEN 600-1/53(13) bertarikh 17 Oktober 2011

7.11.11

e-SSPeL: E-mel ke semua sekolah di Selangor

  1. Semua sekolah, pejabat pelajaran dan setiap sektor di JPN Selangor adalah diminta agar memasukkan semua maklumat latihan/kursus yang telah dijalankan oleh organisasi masing-masing pada tahun 2011 ke dalam e-SSPeL. Ia perlu dilakukan oleh Setiausaha LADAP masing-masing di bahagian menu Kursus (ol-in). Tatacara melaksanakanya boleh diperolehi dengan memuat turun manual pengguna di sini. Walau bagaimanapun Pengetua/Guru Besar atau mana-mana Penolong Kanan perlu terlebih dahulu memasuki aplikasi ini dan melantik SU LADAP. Aplikasi e-SSPeL boleh diakses di sini. Sila lihat manual pengguna Manual RIngkas eSSPeL - GB.GPK-31 okt-newManual RIngkas eSSPeL - GB.GPK-31
  2. Selain itu, semua warga pendidikan sama ada pegawai, guru mahupun kakitangan bukan guru pula perlu mengemaskinikan rekod sejarah tempat bertugas di Profil Perkhidmatan dan rekod kursus yang dihadiri sebelum tahun 2011 di Kursus Lalu.
  3. Setiap individu telah disediakan akaun e-SSPeL. Ia menggunakan nombor kad pengenalan (12 digit) sebagai ID Pengguna dan <rujuk pengetua/gb> sebagai Kata Laluan awal. Sila log masuk dan tukar Kata Laluan ini.
  4. Sebagai permulaan, setiap individu perlu melakukan 5 perkara dalam aplikasi ini iaitu menukar Kata Laluan, mengisi/mengemas kini alamat e-mel peribadi (pada Profil Diri), mengisi Kompetensi, mengemas kini/menambah Profil Perkhidmatan dan mengisi Kursus Lalu. Sila lihat manual penggunanya di Panduan Umum -30 okt (1)Panduan Umum -30 okt (1)
  5. Di sekolah, aplikasi ini mengenali Pengetua/Guru Besar dan semua Penolong Kanan secara automatik. Setiap pentadbir diberi peranan oleh sistem seperti berikut:
    1. Ketua Jabatan (KJ) - Pengetua/Guru Besar
    2. Tim. Ketua Jabatan (TKJ) - Penolong Kanan Pentadbiran
    3. Naib Ketua Jabatan (NKJ) - semua Penolong Kanan yang lain
  6. Di samping melakukan perkara (4) di atas, sebagai KJ/TKJ/NKJ perlu melakukan dua perkara lagi iaitu:
    1. Melantik SU LADAP
    2. Memasukkan alamat website organisasi di menu Selenggara>Website Organisasi
  7. KJ/TKJ/NKJ perlu melantik SU LADAP. Ia boleh dilakukan dengan mudah di menu Sistem>Lantik SU dengan menanda pada nama yang dipilih. SU LADAP boleh dilantik lebih daripada seorang. Terpulang kepada kreativiti pihak sekolah masing-masing. Sebagai permulaan lantiklah lebih dari seorang untuk mempercepatkan urusan pengisian maklumat kursus 2011 di Kursus (ol-in). Untuk membatalkan lantikan, hanya perlu hilangkan tanda pada nama yang berkenaan di menu yang sama.
  8. Setiap maklumat di Kursus Lalu, KJ/TKJ/NKJ perlu menyemak dan mengesahkannya di menu Semak & Sah>Kursus Lalu. Tugas menyemak dan mengesah perlu dilakukan oleh orang yang berbeza bagi menjaga integriti. Dapatkan salinan sijil asal bagi tujukan semakan dan pengesahan. Elakkan salinan fotostat sebagai tanda kita sama-sama menyokong kempen Selamatkan bumi ini. Sahkan hanya kursus yang bersijil.
  9. KJ/TKJ/NKJ dan SU LADAP boleh menyemak maklumat lengkap sama ada seseorang itu cukup atau tidak bilangan harinya berkursus atau perincian kursus yang telah diikuti dengan mudah di Laporan>Bil. Hari Berkursus
  10. KJ/TKJ/NKJ boleh memanfaatkan penggunaan Pengumuman. Pengumuman hanya akan ditayangkan apabila ditanda pada kotak papar. Warna fon tulisan akan berwarna merah sekiranya dikategorikan sebagai Urgent. Pengumuman hanya dapat dilihat di Laman Depan yang dipaparkan secara scroll up. Pergerakannya boleh dihentikan dengan melakukan mouse over (meletakkan pointer tetikus pada pengumuman tersebut)
  11. Jabatan Pelajaran boleh memaparkan pengumumannya di laman e-SSPeL sekolah dan PPD.
  12. Untuk urusan bertukar keluar, bersara, dipinjamkan dan sebagainya, sila gunakan fungsi KeMas di Selenggara>KeMas (Keluar/Masuk). Sekolah asal perlu mengeluarkannya sebelum sekolah yang menerima boleh mengambilnya masuk. Sediakan surat arahan agar semua maklumat yang diperlukan dalam menu tersebut dapat diisi. Semua rekodnya akan dipindahkan ke sekolah baru. Saling berhubung dan mengingatkan antara sekolah asal dan sekolah yang menerima.

Tindakan segera yang dicadangkan:
  1. Panjangkan e-mel ini kepada semua anggota di sekolah masing-masing
  2. Cetak dan tampal e-mel ini di sudut yang strategik
  3. Buat edaran pemakluman
  4. in-house training

Sebarang cadangan dan masalah, sila hantar e-mel ke ict-selangor@googlegroups.com. Jangan lupa menyertakan butir diri dan menerangkan butir perkara yang berkaitan dengan jelas untuk memudahkan pemahaman.

"Semoga kesusahan hari ini merupakan kesenangan hari esok"

Kenyataan Akhbar Menteri Pelajaran: PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

KENYATAAN AKHBAR
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.


Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.


Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.


Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.


Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.


Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.


Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.


Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.


Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.


Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.


Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.



Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

4.11.11

Bidang Tugas

Antara bidang tugas Guru Besar:
  1. Pentadbiran
  2. Kewangan
  3. Pembangunan Fizikal
  4. Pembangunan Kakitangan
  5. Mengajar
  6. Kurikulum
  7. Kokurikulum
  8. Hal-ehwal Murid
  9. Pengawasan dan Penyeliaan
A. Pentadbiran:
Dalam bidang pentadbiran, Guru Besar adalah bertanggungjawab secara langsung dalam segala pengurusan perjawatan dan perkhidmatan guru dan kakitangan bukan guru di sekolah sebagaimana berikut:
  1. Melaksanakan segala prosedur pelantikan dan pengesahan dalam jawatan semua kakitangan di bawah kelolaan dan bidang kuasanya.
  2. Melaksanakan segala prosedur pelantikan ke jawatan yang lebih tinggi bagi semua kakitangan di bawah jagaannya.
  3. Melaksanakan prosedur bagi menamatkan perkhidmatan perletakan jawatan, persaraan, penggantungan, pelepasan guru-guru dan kakitangan.
  4. Memastikan pelaksanaan dan langkah-langkah pengambilan perkhidmatan dan kursus dalam jawatan.
  5. Mengambil langkah-langkah tertentu yang berhubung kait dengan soal percutian kakitangan di sekolahnya.
  6. Mewujudkan struktur organisasi sekolah bagi menentukan pembahagian kerja dan tugas kakitangan sekolahnya.
  7. Menyediakan senarai tugas dan tanggungjawab guru dan kakitangan sokongan.
  8. Menyimpan dan menyelenggarakan rekod-rekod peribadi guru dan kakitangan bukan guru.
  9. Menyediakan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan, Berkala, Laporan Sulit Khas, dan Laporan Nilaian Prestasi Khas bagi semua kakitangan di bawahnya.
  10. Meluluskan permohonan penggunaan bangunan dan kemudahan yang ada di sekolah mengikut syarat-syarat yang dibenarkan oleh pihak yang berkuasa.
  11. Menentukan sistem penyelenggaraan fail dilaksanakan dengan cara yang teratur dan sempurna.
  12. Merancang dan memastikan pelaksanaan takwim sekolah yang telah disusun dan ditetapkan itu berjalan dengan lancar.
  13. Memastikan bahawa segala retan-retan yang disediakan itu dilakukan dengan sempurna dan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  14. Menjadi pengerusi Lembaga Tatatertib Sekolah.
  15. Menjadi Penasihat Persatuan Ibu Bapa Guru dan memastikan bahawa segala keputusan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
  16. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di peringkat sekolah yang melibatkan guru dan kakitangan.
  17. Menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah, Zon Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian PelajaranMalaysia atau jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
....bersambung

1.11.11

e-SSPeL: Anywhere, anytime, anygadget

Aplikasi dalam talian Sistem Pengurusan Latihan Selangor atau dikenali sebagai e-SSPeL telah dibangunkan oleh pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, EzSpex. Aplikasi ini dibangunkan dengan menyasarkan untuk membantu individu dan organisasi dalam merekod, menyemak dan menganalisis semua Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang telah dilalui. Di samping itu, Setiausaha LDP sesebuah organisasi sudah pasti memerlukan aplikasi ini bagi membantu meringankan beban tugas mereka.

Aplikasi dalam talian e-SSPeL ini telah mendaftarkan semua warga yang bertugas di organisasi pendidikan dalam negeri Selangor di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran meliputi semua guru, pegawai dan kakitangan bukan guru. Rekod yang dimasukkan ke dalam sistem ini diimport daripada data EMIS dan HRMIS. Setiap individu mempunyai akaun masing-masing dengan menggunakan nombor kad pengenalan (12 digit) sebagai ID Pengguna.

Pengguna hanya perlu mempunyai gajet yang boleh melayari internet (seperti PC, komputer riba, iPad dan telefon bimbit), capaian internet (Streamyx, wireless broadband, WiMax dsb) dan mempunyai akaun e-SSPeL. Ini membolehkan pengguna mencapai aplikasi ini anytime, anywhere, anygagjet.

Sering kali kita terkial-kial untuk menyediakan maklumat lengkap berkaitan tempat perkhidmatan dan kursus yang telah kita jalani. Kita memerlukan masa untuk mendapatkan fail, memilih yang perlu dan menyenaraikannya. Kini dengan e-SSPeL masalah tersebut dapat dielakkan atau diminimumkan. Begitu juga dengan organisasi apabila diminta membuat dan menghantar analisis latihan dalam perkhidmatan ahli-ahlinya maka sudah pasti kebiasaannya akan menyesakkan dada Setiausaha LDP.

Antara perkara-perkara yang e-SSPeL lakukan untuk kegunaan individu:
  1. Menyimpan sejarah tempat bertugas sejak mula berkhidmat
  2. Merekod maklumat latihan yang pernah dihadiri serta memaklumkan latihan yang sedang dan akan dihadiri
  3. Mengira secara automatik bilangan hari berkursus
  4. Memaklumkan pengguna sekiranya dipilih menjadi pengurus, urus setia atau peserta kursus
  5. Sentiasa menunjukkan bilangan hari kursus yang telah dijalani dalam tahun semasa
  6. Boleh memasukkan ulasan buku (book review) sebagai ganti kursus untuk mengatasi ketidak cukupan bilangan hari berkursus dalam setahun
Setiausaha LDP mudah melaksanakan tugasnya apabila e-SSPeL membantu memberi panduan untuk:-
  1. menyediakan maklumat kursus yang ingin diadakan
  2. memilih pengurus dan urus setia kursus
  3. memilih penceramah dan menyediakan jadual kursus
  4. menyediakan
  5. memudahkan urusan mendaftar kehadiran (check-in) serta menanda kehadiran peserta mengikut slot-slot yang berbeza
  6. mengira jam berkursus setiap peserta berdasarkan kehadiran pada setiap slot
  7. sentiasa mengemas kinikan bilangan jam berkursus setiap individu dan memaklumkannya kepada mereka
Sebarang cadangan dan masalah, sila hantar e-mel ke ict-selangor@googlegroups.com. Jangan lupa menyertakan butir diri dan menerangkan butir perkara yang berkaitan dengan jelas untuk memudahkan pemahaman.

"Semoga kesusahan hari ini merupakan kesenangan hari esok"

TOTAL PAGEVIEWS

Sparkline 13,621
7 Nov 2011

26.10.11

AP: (viii) Peti Besi atau Bilik Kebal

Peti Besi Atau Bilik kebal Perbendaharaan
125. Dalam tiap-tiap satu pejabat hanya peti besi atau bilik kebal yang kukuh yang mempunyai kunci berasingan atau menggunakan kunci berkombinasi boleh digunakan bagi menyimpan Wang Awam. Peti besi atau bilik kebal itu hendaklah mempunyai dua kunci yang berasingan dengan anak kunci yang berlainan atau nombor kombinasi yang berlainan dipegang oleh dua orang pegawai yang bertanggungjawab yang diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Jabatan. Pegawai-pegawai itu hendaklah dari semasa ke semasa mengesahkan dan memperakui akan kandungan peti besi atau bilik kebal itu.

Ringkasnya, dalam konteks kerja kita setiap sekolah:
  1. perlu ada peti besi atau bilik kebal
  2. yang mempunyai dua kunci (bukan 2 anak kunci) - sama ada jenis anak kunci atau nombor kombinasi
  3. bagi setiap kunci, anak kunci/nombor kombinasinya dipegang oleh dua orang yang berbeza. Maknanya setiap kali perlu membuka peti kunci ini, kedua-dua orang ini perlu ada untuk membuka kunci masing-masing.
  4. Guru Besar memberi kuasa kepada kedua orang ini secara bertulis
  5. Kedua-duanya perlu mengesah dan memperakui kandungan peti besi atau bilik kebal dari masa ke semasa

Penyimpanan Anak kunci
129. (i) Pemegang anak kunci adalah sentiasa bertanggungjawab menyimpan selamat dan mengguna anak kunci itu dengan sepatutnya. Pegawai yang didapati bersalah kerana cuai mengenai penyimpanan anak kunci boleh dikenakan tindakan tatatertib.

(ii) Jika seseorang pemegang anak kunci tidak dapat menjalankan tugasnya, anak kuncinya hendaklah diambil alih oleh dua orang pegawai yang bertanggungjawab yang kedua-duanya bukan pemegang anak kunci yang satu lagi.

(iii) Kedua-dua pegawai ini, bersama dengan pemegang anak kunci yang seorang lagi itu, mestilah menyemak kandungan peti besi itu dan melaporkannya kepada Akauntan Negara atau Pegawai Kewangan Negeri. Sementara menantikan kuasa, pegawai yang lebih kanan antara dua orang pegawai yang mengambil alih itu hendaklah menjalankan tugas-tugas pemegang anak kunci pegawai yang tidak dapat menjalankan tugasnya itu.


Peti Besi atau Bilik Kebal Kunci Berkombinasi

129A. Bagi peti besi atau bilik kebal yang menggunakan kunci kombinasi, kodnya hendaklah ditukar oleh kedua-dua orang pegawai yang bertanggungjawab setiap enam (6) bulan sekali atau setiap kali terdapat pertukaran pegawai atau pada bila-bila masa disyaki bahawa kombinasi kod telah diketahui oleh orang yang tidak dibenarkan. Kombinasi kod itu hendaklah ditulis pada sekeping kertas dan dimasukkan dalam sampul surat yang dimeteri dan ditanda “Rahsia Besar”. Nama pegawai yang mengendalikan peti besi atau bilik kebal dan tarikh sampul surat dimeterikan hendaklah juga ditulis di atas sampulnya. Sampul surat ini hendaklah disimpan dengan selamat oleh Ketua Jabatan seperti ditetapkan di Arahan Perbendaharaan 135(b).

Kehilangan Anak Kunci
130. (a) Sekiranya anak kunci bagi sesuatu peti besi atau bilik kebal itu hilang, Kehilangan itu mestilah dilaporkan dengan serta merta kepada Ketua Jabatan dan Ketua Jabatan hendaklah mengeluarkan anak kunci ganti daripada tempat simpanannya, membuka peti besi itu, menyemak kandungannya dan jika perlu membuat aturan alternatif sementara bagi menyimpan selamat kandungan peti besi atau bilik kebal itu dan menguruskan supaya kunci dan anak kunci itu ditukar dengan secepat mungkin.

(b) Ketua Jabatan hendaklah mengambil tindakan mengenai kehilangan itu mengikut Arahan Perbendaharaan 315 hingga 326.

24.10.11

KSSR: Dokumen Standard Kurikulum Tahun 2

Dokumen Standard Kurikulum Tahun 2 telahpun boleh dimuat turun. Sila klik di sini.

23.10.11

SKPM 2010: Pengisian Skor 2011

Petikan dari http://www.moe.gov.my/enazir/

Pengisian Skor Penilaian Kendiri Sekolah -SKPM

PERINGATAN!!!

SEMUA SEKOLAH DIPOHON UNTUK MENGISI SKOR PKS-SKPM SEKOLAH BAGI TAHUN 2011.


SEKOLAH RENDAH

MULAI 01 OKTOBER 2011 HINGGA 20 FEBRUARI 2012.


SEKOLAH MENENGAH

MULAI 01 OKTOBER 2011 HINGGA 30 JUN 2012.


Alamat Portal NKRA untuk Pengisian SKPM 2003 adalah seperti berikut :

http://nkra.moe.gov.my

22.10.11

Karakter Kaum Profesional: Pendidik dan Pegawai Pendidikan yang Menjuarai Perubahan

  1. Peka kepada persekitaran pekerjaannya yang telah berubah
  2. Tidak pernah berasa puas dengan tahap pencapaian dan keberhasilan kerjanya
  3. Paradigm breaker, peneroka penyelesaian baharu terhadap isu-isu yang mendatangkan kekusutan dalam pekerjaan dan profesyen.
  4. Sentiasa belajar, sentiasa berusaha menguasai pengetahuan dan kemahiran baharu, sentiasa mengintai peluang untuk menyertai latihan, sentiasa menyediakan diri untuk memahami dan mencerna idea dan metodologi baharu dalam melaksanakan tugas dantanggungjawab.
Petikan dari HALUAN KERJA PENDIDIKAN: MEREALISASIKAN AGENDA TRANSFORMASI NEGARA oleh Dato Abdul Ghafar Mahmud, KPPM

7.10.11

Bajet 2012

Pendidikan

Sektor pendidikan akan dapat RM50.2bilion utk melahirkan tenaga kerja berbakat, kreatif & inovatif.

Sebuah tabung khas RM1bilion akan melihat kpd keperluan pembinaan, baik-pulih & penyelenggaraan bangunan sekolah2.

Mansuh YURAN PENDIDIKAN:

Buat pertama kalinya, Kerjaan akan memansuhkan yuran pendidikan rendah & menengah di semua sekolah2 kerajaan.Beban ibu-bapa akan dapat diringankan.

Bank Simpanan Nasional akan lantik agen-agen di seluruh negara untuk tingkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar Bandar.


Kakitangan Awam

Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320

Dalam skim baru menikut time-based, guru akan dapat gred 44 pd tahun ke-8 & gred 48 pd tahun ke-16.

Lanjut Umur persaraan:

Kerajaan setuju lanjutkan umur persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 58 tahun bg mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.


Pemberian secara sekali (one- off assistance) kepada golongan berpendapatan rendah:

Bantuan sebanyak RM500 akan diberi kpd isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Pemberian diberi kepada ketua isi rumah melalui BSN.

Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

21.9.11

e-gTukar

Semua Guru Besar/Pengetua sekolah di negeri Selangor diminta membuat pengesahan permohonan tukar guru dalam e-gTukar sebelum 24 September 2011.

ePerlu

Difahamkan bahawa semua sekolah diminta mengisi data dalam aplikasi ePerlu selewat-lewatnya pada 30 September 2011. ePerlu adalah aplikasi yang menggantikan dBLAT.


Sila klik di sini untuk masuk ke Aplikasi ePerlu.

ID Pengguna: Kod Sekolah
Kata Laluan: sekolah
*Taipkan perkataan sekolah dalam ruang Kata Laluan

20.9.11

Senarai Pengurusan Tertinggi Pendidikan

Y.A.B. TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD. YASSIN
Menteri Pelajaran Malaysia
(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran),


Pejabat Timbalan Perdana Menteri,
Aras 4, Blok Barat,Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.




Y.B. DATUK IR. DR. WEE KA SIONG
Timbalan Menteri Pelajaran I

Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 10, Blok E8, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.


Y.B. DR. HAJI MOHD. PUAD ZARKASHI
Timbalan Menteri Pelajaran II

Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 10, Blok E8, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.




Y.Bhg. Dato' Dr. Rosli b. Mohamed
Ketua Setiausaha KPM
(mulai 29 Oktober 2010)





Y.Bhg. Dato' Sri Abdul Ghafar b. Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
(mulai 8 November 2010)

pengarah 
En. Abdullah bin Mad Yunus
Pengarah Pelajaran Selangor

matjah 
Hj. Mat Jah bin Roslan
Pegawai Pelajaran Daerah Sepang

Prinsip Kerja X-PLUS

X-PLUS merupakan prinsip kerja kaum profesional era GTP Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) - memaksimumkan impak penyampaian dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan.

CEMERLANG (EXCELLENCE)

Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.

Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.



PENGETAHUAN

Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan.

Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin.



LATIHAN

Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.



USAHA

Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif. Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan. Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.

Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.



SEPASUKAN

Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.

19.9.11

Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi


Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 telah menetapkan jenis pakaian yang boleh dipakai oleh pegawai perkhidmatan awam semasa bekerja dan semasa menghadiri upacara rasmi.  Di samping jenis pakaian tersebut, Kerajaan telah bersetuju untuk menggariskan fesyen pakaian alternatif yang sesuai dan boleh dipakai oleh pegawai perkhidmatan awam semasa bekerja dan semasa menghadiri upacara rasmi.


Fesyen Pakaian Alternatif Pegawai Lelaki

  1. Baju kemeja berlengan panjang (Syarat: berseluar panjang.  Lengan baju jangan dilipat. Kemeja hendaklah dimasukkan ke dalam/tuck in)
    1. berkolar baju Melayu cekak musang berbutang tiga
    2. berkolar baju Melayu cekak musang berbutang lima
    3. berkolar Nehru berbutang terselindung
    4. berkolar Mandarin berbutang tiga
  2. Nehru suit (Syarat: diperbuat dari jenis kain dan warna yang sesuai)
    1. berbutang hadapan
    2. berbutang terselindung
  3. Baju kemeja batik Malaysia berlengan panjang (Syarat: Hari Khamis. Berseluar panjang. Lengan baju jangan dilipat. Sekiranya dipadankan dengan kot, baju kemeja batik hendaklah dimasukkan ke dalam/tuck in.)
    1. berkolar baju Melayu cekak Musang berbutang tiga
    2. berkolar baju Melayu cekak Musang berbutang lima
    3. berkolar Nehru berbutang terselindung
    4. berkolar Mandarin berbutang tiga
Pakaian Wanita
Pegawai wanita boleh memakai pakaian sedia ada seperti pakaian kebangsaan baju kurung atau kebaya atau pakaian-pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa bekerja atau semasa menghadiri upacara rasmi selaras dengan peraturan sekarang.

Pengecualian
Pegawai yang disyaratkan memakai pakaian seragam dan dibekalkan dengan pakaian berkenaan hendaklah sentiasa memakainya semasa bekerja seperti yang ditetapkan dalam peraturan sekarang.

Teknologi Maklumat: Pembangunan Sistem Aplikasi

9.22 Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan sebarang instalasi (installation) perisian ICT yang berlesen sahaja dibenarkan untuk kegunaan Jabatan.  Sebarang instalasi perisian yang tidak berlesen atau cetak rompak adalah dilarang.

Pembangunan Sistem Aplikasi
9.23 Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan sebarang pembangunan sistem aplikasi (legacy) yang menyokong urusan Jabatan menggunaka pakai kod-kod yang standard di bawah Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) mengikut peraturan yang berkuatkuasa.

9.24 Bagi pelaksanaan perkongsian pintar dalam bidang ICT, Ketua-ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan sebarang sistem aplikasi generik yang boleh dikongsi dengan jabatan-jabatan lain didaftarkan kepada pihak MAMPU melalui Sistem Repositori Aplikasi Perkongsian Pintar (RAPP).  Tindakan ini hendaklah merujuk kepada peraturan semasa yang berkuatkuasa.

9.25 Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan sebarang sistem aplikasi yang dibangunkan oleh jabatan perlu disertakan dengan dokumentasi sistem (sistem spresifikasi, manual pengoperasian dan manual pengguna) dan melaksanakan penduaan (backup) bagi pangkalan data dan kod pengaturcaraan sistem.

- Panduan Pengurusan Pejabat , Bahagian IX Pengurusan Komunikasi dan Teknologi Maklumat

Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun 2011, mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2010 bertarikh 25 Januari 2010.

Strategi utama memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.

Manakala strategi utama memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris, penyediaan guru dan bahan yang mencukupi lagi berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai Dasar MBMMBI, sila klik pautan berikut
Bahasa Malaysia
Bahasa Inggeris

Panduan Pengurusan Pejabat

  1. Bahan Powerpoint
  2. Surat Pekeliling


300 Bantu Pembelajaran BI

50 pengajar dari AS sertai program Fulbright bermula Januari 

SERAMAI 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan dengan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari depan dan ditambah secara berperingkat.

“Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan oleh AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Program tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran bahasa Inggeris sedia ada, sebaliknya mereka menggunakan masa luar sekolah dengan teknik pembelajaran menyeronokkan.
“Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun. Tenaga pengajar akan diberikan orientasi supaya dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di hantar, termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan dan setakat ini maklum balasnya amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan.

“Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai bahasa Inggeris, manakala guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu, kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek perintis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti,” katanya. 

 —–

Sumber: Berita Harian |30 Jun 2011|

15.9.11

Kutipan Yuran Melalui Bank

Cara kutipan seperti ini telahpun dipraktikkan di Sekolah Menengah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Teknik.  Bagi sekolah biasa yang bercadang untuk mngendalikan sistem ini perlu mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Kewangan (Unit Akaun Sekolah) Kementerian Pelajaran Malaysia.

Syarat-syarat permohonan adalah:
  1. Dapatkan persetujuan daripada ibu/bapa
  2. Dapatkan persetujuan bank
  3. Dapatkan kelulusan bertulis dari KPMI PTJ
  4. Slip bayran masuk bank perlu diubahsuai
  5. Resit dikeluarkan selepas perakauan bank diterima
  • TPKPKWS 5.5
Proses Penerimaan
  1. Guru kelas menerima slip masuk bank dankeluarkan resit
  2. Rekod ke dalam Daftar Kedatangan Mood
  3. Lain-lain prosedur seperti tatacara merekod penerimaan
Sumber: Nota Kursus - Kursus Pengurusan Kewangan dan Akaun Sekolah (Terimaan dan Pungutan Akaun Sekolah) oleh Institut Aminuddin Baki (muka surat 13)


Laluan Kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

 Keguruan Sebagai Satu Profesion
 
“Mengajar ialah pekerjaan profesional. Tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.”
- Janet A. Weiss (1989)


Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) mempunyai sebanyak sepuluh jenis laluan pemangkuan dan kenaikan pangkat.  Daripada 10 laluan ini, pemangkuan dan kenaikan pangkat laluan hakiki mempunyai 4 jenis laluan, tiga untuk Laluan Cemerlang, dua jenis laluan Time-based dan satu Laluan Khas untuk Guru Besar ex-PPPLD Khas untuk Penyandang (KUP).

Sementara bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), terdapat lima jenis laluan dan kenaikan pangkat iaitu satu laluan hakiki, tiga jenis laluan bagi Laluan Cemerlang dan satu Laluan Time-based.

Kenaikan pangkat secara Time-based Khas Untuk Penyandang (KUP)

Di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuatkuasa pada tahun 2002, guru akan diberi kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka. Seorang guru yang berada pada gred DGA29 akan menikmati kenaikan pangkat ke gred DGA32 setelah berkhidmat bagi tempoh 10 tahun. Begitu juga dengan guru yang berada pada gred DG41 dan telah berkhidmat selama 10 tahun akan menerima kenaikan pangkat secara time-based pada gred DG44

Laluan Cemerlang
Berliner (1988) telah mengemukakan model lima peringkat perkembangan guru yang memberi fokus terhadap pemikiran guru berdasarkan tingkah laku guru dalam bilik darjah. Model perkembangan Berliner (1995) mentafsir perkembangan guru sebagai “satu proses menuju ke arah pembentukan guru untuk mencapai tahap kepakaran dan kecemerlangan” (Sani dan Norzaini, 2007). Peringkat perkembangan dalam Model Berliner adalah seperti berikut:
Peringkat 1 – Peringkat permulaan atau novice
Guru novis mempelajari fakta dan menimba pengalaman serta diajar peraturan umum yang dikatakan sesuai untuk semua konteks;
Peringkat 2 – Peringkat lebih maju atau advanced beginner
Guru yang mempunyai pengalaman mengajar selama dua atau tiga tahun. Pengalaman dan konteks masalah mula membimbangi dan mempengaruhi tingkah laku guru

Peringkat 3 – Peringkat cekap atau competent
Guru mampu membuat pilihan secara sedar tentang tindakan, membuat keutamaan dan membuat perancangan. Berdasarkan pengalaman yang diperoleh, guru menjadi lebih peka terhadap perkara yang penting atau remeh . Namun, kemahiran mengajar masih lagi kaku dan tidak fleksibel;
Peringkat 4 – Peringkat mahir atau proficient
Terdiri daripada guru yang berpengalaman mengajar selama lima tahun. Guru boleh mengesan maklumat yang wujud dalam semua konteks dan situasi serta mampu membuat ramalan tentang sesuatu kejadian dengan cepat; dan
Peringkat 5 – Peringkat pakar atau expert
Bukan semua guru mampu untuk mencapai tahap ini. Pengajaran guru adalah lancar dan segala tugas dapat dilaksanakan dengan mudah.

Menurut model ini, seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum ia dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan.

Urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat bagi Laluan Cemerlang PPPS terdiri daripada tiga jenis laluan iaitu Pengetua Cemerlang, Pegawai Cemerlang dan Guru Cemerlang.  Sementara Laluan Cemerlang PPPLD pula ialah Guru Besar Cemerlang, pengelola Cemerlang dan Guru Cemerlang.

Pengetua Cemerlang dan Pegawai Cemerlang boleh mencapai sehingga ke JUSA C sementara bagi Guru Cemerlang PPPS pula Khas C.  Guru Besar dan Pengelola Cemerlang boleh meningkat sehingga gred DGA38 sementara Guru Cemerlang PPPLD pada gred DGA34.

Sumber: Laluan Kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (KPM), 2009 


9.9.11

Cuti Am Persekutuan dan Negeri Selangor 2012

PERKARA

TARIKH

HARI

* TAHUN BARU

1 JANUARI

AHAD

*TAHUN BARU CINA

23 & 24 JANUARI

ISNIN & SELASA

# MAULIDUR RASUL

5 FEBRUARI

AHAD

#HARI THAIPUSAM

7 FEBRUARI

SELASA

* HARI PEKERJA

1 MEI

SELASA

#HARI WESAK

17 MEI

KHAMIS

* HARI KEPUTERAAN SPBYDA

2 JUN

SABTU

# NUZUL AL QURAN

6 OGOS

ISNIN

*HARI RAYA PUASA

19 & 20 OGOS

AHAD & ISNIN

* HARI KEBANGSAAN KE 54

31 OGOS

JUMAAT

*HARI MALAYSIA

16 SEPTEMBER

AHAD

*HARI RAYA HAJI

26 OKTOBER

JUMAAT

*HARI DEEPAVALI

13 NOVEMBER

SELASA

*MAAL HIJRAH

15 NOVEMBER

KHAMIS

#KEPUTERAAN SULTAN SELANGOR

11 DISEMBER

SELASA

*HARI KRISMAS

25 DISEMBER

SELASA