... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

31.1.11

Internet di Sekolah

TM dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor telah menjalankan sesi taklimat kepada semua Pengetua dan Guru Besar seluruh Selangor pada 28 Januari 2011 di Hotel Goldcourse Klang.  Akses ke internet sekolah yang selama ini menggunakan talian SchoolNet telahpun ditamatkan kontraknya oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2010 yang lalu.  Namun pihak TM masih mengekalkan sambungan talian jalurlebar itu sehingga 31 Januari 2011.

Di dalam taklimat ini, TM menawarkan kepada sekolah-selkolah perkhidmatan tersebut dengan kadar bayaran yang dibenarkan oleh Kementerian Pelajaran.  Pihak sekolah hanya perlu menghantar bil ke PPD masing-masing untuk urusan pembayaran.

Kelajuan yang ditawarkan dinaikkan sekali ganda menjadi 2 mbps di sampign perkhidmatan lain seperti MSS dan antivirus dikekalkan.  Sekolah hanya perlu menandatangan borang setuju menerima perkhidmatan yang ditawarkan dan boleh ditamatkan langganan tersebut pada bila-bila masa dengan memberi notis 1 bulan.

18.1.11

Tarikh Peperiksaan Awam Tahun 2011

Rujukan KP.LP.003.04.6(37) bertarikh 21 Disember 2011

UPSR (Bertulis) akan diadakan pada 13, 14 dan 15 September 2011 (Selasa hingga Khamis).

Nota: 16 September 2011 adalah cuti Umum Hari Malaysia

Mesyuarat Kurikulum (Rendah) Daerah Sepang 1/2011

Semalam 17 Januari 2011 (Isnin) telah berlangsung mesyuarat tersebut di Bilik Mesyuarat Sekolah Kebangsaan KLIA. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Tn. Haji Mohd. Amin bin Sulaiman.

Agenda Mesyuarat:

  1. Ucapan Pengerusi
  2. Pengesahan Minit Mesyuarat Lalu
  3. Perkara Berbangkit
  4. Perkara Baru/Laporan
    1. Penetapan Sasaran Prestasi (KPI) Peperiksaan Awam - UPSR
    2. Strategi Peningkatan Prestasi
      1. Program Mawar
        1. Soalan setara PPT dan Percubaan (PPPA/JPN)
        2. Bank item PAT Tahun 4 & 5
        3. Post mortem SAP/HC
      2. Sekolah Angkat bagi Sekolah Berprestasi Rendah/Baru
        1. Pemantauan dan Bimbingan Pengurusan Kurikulum & Panitia
        2. Pemantauan pengurusan P&P oleh pentadbir
      3. Pemantapan Prestasi Profesionalisme
        1. Guru Cemerlang
        2. Pemeriksa Kertas Soalan
        3. JSU – bina item
      4. Permuafakatan Komuniti
        1. Program Kecemerlangan Pendidikan Sepang
          1. Teknik menjawab
          2. Motivasi
          3. Anugerah
    3. Pelaksanaan Dasar KPM
      1. KSSR
      2. PBS
      3. MBM/MBI
      4. LINUS
      5. SBT
      6. Baiah
  5. Hal-hal Lain
  6. Penutup


12.1.11

Pentaksiran Sekolah

Sekolah akan menjalankan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan terhadap murid KSSR Tahun 1 mulai tahun 2011 ini. Dari segi tujuannya, ia bagi mengurangkan bebanan peperiksaan awam terhadap murid-murid dan memberi penilaian yang menyeluruh kepada mereka bagi melahirkan modal insan yang bukan tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi cemerlang secara holistik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.
Penilaian ini akan berterusan sehinggalah murid-murid ini tamat pelajaran mereka di tingkatan 5. Dijangkakan pada tahun 2015, peperiksaan UPSR hanya membawa markah 30% dari markah keseluruhan yang akan dikira untuk murid-murid ini memasuki sekolah menengah. Kalau dahulu, penilaian berdasarkan gred A, B, C, D dan E, namun kini akan digantikan dengan sistem BAND seperti MUET.

Band 1 - Tahu
Band 2 - Tahu, faham
Band 3 - Tahu, faham, boleh buat
Band 4 - Tahu, faham, boleh buat dengan beradab
Band 5 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab terpuji
Band 6 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab mithali

Band 1-3: Asas
Band 4: Cemerlang
Band 5: Gemilang
Band 6: Terbilang

5.1.11

Penamatan Perkhidmatan SchoolNet

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui suratnya KP(KSU)001/10 bertarikh 29 Disember 2010 telah memaklumkan bahawa perkhidmatan rangkaian internet di sekolah-sekolah di bawah KPM 2011 telah ditamatkan mulai 31 Disember 2010. Berikut ialah panduan daipada KPM untuk pemasangan talian internet berikutan penamatan kontrak SchoolNet tersebut.

GARIS PANDUAN PEMASANGAN TALIAN INTERNET DI SEKOLAH YANG
MENGGUNAKAN PERUNTUKAN KERAJAAN
1. Pemilihan, Pendaftaran dan Pemasangan
a) Pihak Sekolah bertanggungjawab untuk memilih dan melantik
Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) untuk tujuan Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P) serta Pengurusan dan Pentadbiran (P&T) di
Sekolah.
b) Semua urusan berkaitan penyediaan perkhidmatan internet
termasuklah permohonan dan pendaftaran adalah di bawah
tanggungjawab pihak sekolah dan ISP yang telah dipilih.
c) Pemilihan ISP adalah berdasarkan kepada perkhidmatan dan pakej
terbaik kepada pengguna.
d) Jangka masa pendaftaran dan pemasangan adalah mengikut tarikh
yang difikirkan sesuai dan sekolah bertanggungjawab dalam
memastikan pemasangan dibuat dengan betul dan mengikut terma
yang telah dipersetujui antara Sekolah dan ISP.
e) Pemasangan Peralatan boleh dibuat samada di pejabat atau di
makmal komputer sekolah atau di mana - mana yang difikirkan sesuai
oleh sekolah untuk disambung dengan persekitaran Rangkaian
Dalaman Setempat (LAN) di sekolah.
f) Pemilihan lokasi pemasangan adalah mengikut kesesuaian pihak
sekolah dengan berasaskan kepada tujuan untuk Pengajaran dan
Pembelajaran serta Pentadbiran dan Pengurusan sekolah.
2. Status Perkhidmatan Sedia Ada Di Sekolah
a) Bagi Sekolah yang ingin mengekalkan pekhidmatan dengan Pembekal
Perkhidmatan Internet sedia ada iaitu GITN, urusan pembaharuan
adalah dibuat sendiri oleh pihak sekolah.
b) Bagi Sekolah yang telah memiliki atau melanggan perkhidmatan
internet selain dari pihak GITN, Sekolah boleh meneruskan
perkhidmatan tersebut atau boleh memilih untuk melanggan
perkhidmatan baru dengan syarat tidak melebihi peruntukan dan
kelajuan yang telah dihadkan.

3. Had Pemilihan Kelajuan Lebar Jalur (bandwidth)
a) Sekolah boleh melanggan kelajuan lebar jalur atau kemudahan internet
sehingga berkelajuan 8Mbps bergantung kepada infrastruktur lebar
jalur yang disediakan di kawasan masing-masing atau kelajuan
maksimum yang ditawarkan oleh pihak ISP berdasarkan kepada had
maksimum RM600.00 sebulan. Pihak Sekolah juga tidak boleh
menggunakan lebihan peruntukan untuk tujuan lain.
b) Bagi sekolah yang terletak di kawasan yang mempunyai kemudahan
Infrastruktur Fibre to the School (FTTS) atau yang apa-apa teknologi
seumpamanya seperti di zon Pulau Pinang, Lembah Kelang, Negeri
Sembilan, Melaka dan Johor, keupayaan lebar jalur yang dibenarkan
melanggan adalah 10Mbps dan tertakluk kepada had maksimum
RM600.00 sebulan.
c) Bagi Sekolah-sekolah yang terlibat dengan pelaksanaan teknologi
FTTS sedia ada dengan pihak GITN, maka peruntukan akan diberikan
berdasarkan kepada kos sebenar sedia ada.
4. Aspek Keselamatan
a) Sekolah bertanggungjawab menyediakan garis panduan kepada
pengguna di sekolah.
b) Aspek keselamatan adalah di bawah tanggungjawab sekolah meliputi
aspek berikut:
i. Keselamatan perkakasan;
ii. Keselamatan data dan maklumat;
iii. Tatacara penggunaan dan akses ke internet;
iv. Virus, pencerobohan dan ancaman keselamatan siber;
v. Etika dan tatacara penggunaan internet;
vi. Penyambungan ke rangkaian dalaman atau ke komputer lain;
vii. Keselamatan internet secara pakej hendaklah diberi
keutamaan.
viii. Kata kunci keselamatan adalah di bawah tanggungjawab pihak
sekolah; dan
ix. Mana-mana aspek yang menimbulkan keraguan, pihak sekolah
boleh melihat dan mendapatkan maklumat lebih terperinci
dalam garis panduan yang boleh dimuat turun melalui laman
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/guideline/
c) Pihak Sekolah hendaklah memastikan agar Sekolah tidak terikat
dengan apa-apa kontrak yang boleh memberi kesan negatif atau
implikasi perundangan sehingga menjejaskan nama baik kerajaan.
5. Peruntukan dan Lain-lain
a) Pembayaran hendaklah mengunakan peruntukan pecahan objek
pembayaran utiliti sekolah.
b) Peruntukan yang diagihkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah
untuk tempoh maksimum satu (1) tahun sahaja bermula Januari 2011
sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak oleh pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia.
c) KPM melalui JPN akan menurunkan peruntukan tambahan ke semua
sekolah berstatus Pusat Tanggung Jawab (PTJ) bagi tujuan
perkhidmatan internet
d) Bagi sekolah yang bukan berstatus PTJ, pihak Jabatan Pelajaran
Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah akan membuat pembayaran
berdasarkan kepada bil internet berkenaan.
e) Peruntukan bagi perkhidmatan internet yang diagihkan adalah bagi
tujuan mendapatkan perkhidmatan sambungan ke internet sahaja
manakala kos-kos lain yang terlibat khususnya pembelian perkakasan
atau peralatan adalah tidak termasuk dalam pakej ini.

Program j-QAF

Dasar-Dasar Umum
  1. j-QAF adalah akronim bagi jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain. Ia dijalankan mengikut jadual waktu Pendidikan Islam sedia ada di sekolah (6 waktu seminggu). Walau bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Arab, tambahan 2 waktu perlu dimasukkan ke dalam jadual waktu rasmi persekolahan (Pekeliling Pelaksanaan Program j-QAF Bil 13/2004). Begitu juga bagi komponen program Tasmik, tambahan sekurang-kurangnya 2 waktu lagi perlu dibuat di luar waktu rasmi persekolahan (Buku Panduan Dasar j-QAF halaman 4). Berikut ialah pecahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam:
  • Tahun 1: 6 bulan pertama (4Q+2J+2BA), 6 bulan kedua (3Q+2US+1J+2BA)
  • Tahun 2-6: 6 bulan pertama (4Q+1US+1J+2BA), 6 bulan kedua (2Q+3US+1J+2BA)
  • Tahun 1-6: sepanjang tahun (sekurang-kurang 2 waktu Tasmik) di luar jadual waktu rasmi persekolahan
  1. Peruntukan masa seminggu sebanyak 1380 minit (46 waktu) bagi tahap 1 dan 1500 minit (50 waktu) bagi tahap 2 (rujuk SPI Bil 11/2002: Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris)
  2. Guru GPI Program j-QAF adalah guru luar norma yang dilarang mengajar subjek lain selain daripada Pendidikan Islam dan bahasa Arab program j-QAF

Model Pemulihan Jawi

  1. Pihak sekolah perlu mewujudkan satu kelas pemulihan jawi
  2. Model pemulihan jawi dijalankan secara berasingan antara kelas jawi sedia ada. GPI sedia ada akan mengajar seperti biasa di dalam kelas jawi secara berseorangan. Sementara itu seorang guru GPI j-QAF akan mengajar kelas pemulihan jawi juga secara individu di tempat berasingan (seperti di bilik j-QAF)
  3. Bilangan murid pemulihan jawi tidak boleh melebihi daripada 10 orang

Model Tasmik

  1. Dilaksankan di luar jadual waktu rasmi persekolahan sama ada selepas waktu rasmi persekolahan atau hari Sabtu minggu kedua dan keempat atau sewaktu aktiviti kokurikulum atau waktu yang difikirkan sesuai oleh pihak pentadbir
  2. Semua GPI wajib terlibat dengan program tasmik, manakala guru-guru akademik yang berkemampuan adalah digalakkan membantu
  3. Pentadbir perlu memastikan bahawa guru-guru yang terlibat dengan tasmik dikira waktu rasmi bagi mereka dan dikehendaki menulis rancangan harian seperti P&P biasa dan dicatat di dalam jadual waktu individu tersebut
  4. buku Rekod Bacaan Murid hendaklah dicatat oleh guru selepas setiap kali waktu P&P dijalankan

Model 6 Bulan Khatam Al-Quran

  1. P&P kaedah iqra' digunakan pada 6 bulan pertama tahun 1. Sementara aspek khatam al-Quran dilaksanakan pada 6 bulan pertama tahun 2 hingga tahun 6
  2. Buku Rekod Bacaan Murid hendaklah dicatat oleh guru selepas setiap kali waktu P&P dijalankan
  3. Bagi murid-murid yang belum menguasai al-Quran, P&P dijalankan dengan menggunakan 2 kaedah iaitu kaedah Jibril iaitu Baca Ikut Guru (BIG) dan kembali kepada iqra' masing-masing.

Model Bahasa Arab

  1. P&P dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pentadbir sebanyak 2 waktu seminggu sama ada digabungkan atau berasingan
  2. Hanya seorang guru yang mengajar Bahasa Arab. Jika GPI j-QAF major BA tiada, maka GPI j-QAF major Pendidikan Islam wajib mengambil alih tugas tersebut
  3. Pentadbir perlu memohon PCG Bahasa Arab sama seperti PCG mata pelajaran lain

Model Kem Bestari Solat

  1. Merupakan aktiviti kokurikulum yan gmesti dilaksanakan sebanyak 4 kali setahun di tempat yang sesuai dan dimasukkan ke dalam takwim persekolahan. Cadangan tarikh adalah Kem 1 (Mac), Kem 2 (awal Mei), Kem 3 (Julai) dan Kem 4 (September)
  2. Peruntukan kewangan diperolehi daripada duit aktiviti panitia Pendidikan Islam (SuWA), Kementerian Pelajaran Malaysia, sumbangan PIBG dan lain-lain
  3. Semua guru terlibat dengan program KBS seperti mana acara sukan sekolah
  4. Pelaksanaan KBS adalah di luar waktu rasmi persekolahan