... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

20.2.13

Pentaksiran Berasaskan Sekolah: Band Berapa?

Setelah memasuki tahun ketiga Pentaksiran Berasaskan Sekolah diperkenalkan, kini masyarakat semakin biasa dengan penggunaan istilah band.  Penguasaan murid terhadap kurikulum kini diwakili oleh band.  Band 6 adalah yang terbaik sementara band 1 pula adalah yang terendah.  Sudah pasti guru dan ibubapa akan berbangga andainya anak murid atau anak mereka memperolehi band 6 dalam sesuatu mata pelajaran.  Kini ibubapa boleh mengetahui pencapaian anak mereka dengan melihat slip Laporan Bersepadu Sumatif (Pencapaian Murid) yang menunjukkan band pencapaian anak mereka bagi setiap mata pelajaran yang diambil.  Selain slip ini menunjukkan band, ia juga turut memberikan laporan pencapaian bagi setiap mata pelajaran dalam bentuk deskriptif.  Laporan ini dijana secara automatik oleh aplikasi dalam talian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).  Guru kelas akan mencetak slip keputusan ini pada penghujung tahun dan diserahkan kepada ibubapa sewaktu sesi pertemuan dengan ibubapa. 

Namun mari kita lihat sama ada kita benar-benar memahami tentang band.  Berdasarkan senario berikut, cuba beri jawapan:
  1. Persekolahan sudah memasuki bulan April, pengetua di sebuah sekolah ternama memaklumkan bahawa hampir 80% pelajarnya telah mencapai band 6 dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
  2. Persekolahan sudah memasuki bulan 9, Guru Besar di sekolah kecil memaklumkan bahawa masih belum ada lagi muridnya yang mendapat band 1 dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Seandainya perancangan dan proses PdP di kedua-dua sekolah ini adalah normal, situasi manakah yang lebih boleh dipercayai?  Mengapa?

PBS: Sesi Bual Bicara di RTM1 (10 malam, Rabu, 20 Februari 2013)



Kepada semua warga Malaysia dan khususnya warga pendidik, jangan lepaskan peluang ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di RTM 1 pada pukul 10 malam ini.  Antara ahli panel yang dijangka hadir ialah YBHG. Datuk Dr. Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) dan dua orang pegawai dari Lembaga Peperiksaan iaitu Puan Hajah Noerzila Mohd. Yusof dan Puan Badariah Ahmad.

14.2.13

PELAKSANAAN APLIKASI PANGKALAN DATA MURID (APDM)

PEJABAT TIMBALAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA telah mengeluarkan surat arahan bertarikh 10 Januari 2013 yang memaklumkan bahawa Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) merupakan aplikasi yang berfokus kepada sistem satu pangkalan data tunggal bagi murid-murid di seluruh negara.  Ia dibangunkan dengan bertujuan untuk mengurangkan beban tugas guru. Aplikasi ini akan dapat mengelakkan guru-guru melakukan kemasukan data berulang kali dalam pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).



Pangkalan data tunggal bagi murid ini akan digunasama oleh pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di KPM pada masa akan datang. Menerusi APDM, terdapat pelbagai modul seperti
eDaftar Rendah, eDaftar Menengah, eKehadiran dan Permohonan ke Sekolah Kawalan dan Sekolah Berasrama Penuh.

Muat turun di sini.


5.2.13

Isu BISP

Dengan keluarnya Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) BIL 2/2010 PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI) bertarikh 25 Januari 2010, maka berakhirlah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).  Dengan pemansuhan dasar PPSMI ini, maka sekolah kebangsaan dan sekolah menengah  wajib menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala di SJK (C) dan SJK (T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Pekeliling SPI BIL 11/2010 PELAKSANAAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR) TAHAP SATU MULAI 2011 bertarikh 14 Oktober 2010  dikeluarkan dengan tujuan memaklumkan pelaksanaan KSSR di semua sekolah rendah.  Dengan keluarnya pekeliling ini, ia menandakan bermulanya transformasi dalam sistem pendidikan di negara kita.  Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 mula ditamatkan secara beransur-ansur (soft landing) seiring dengan pelaksanaan KSSR tersebut.  Dasar PPSMI digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui SPI BIL 12/2011 PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)  bertarikh 4 November 2011 (Ia membatalkan SPI 2/2010 bertarikh 25 Januari 2010).

Secara ringkasnya, Surat Pekeliling Perkhidmatan  Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 3/2003 Garis  Panduan  Pelaksanaan  Bayaran  Insentif Subjek Pendidikan (BISP)  Bagi  Pegawai  Perkhidmatan  Pendidikan  Bidang  Sains, Matematik  Dan Bahasa Inggeris menggariskan syarat pemberian  BISP  kepada  PPP  di  Kementerian  Pendidikan  adalah  tertakluk kepada  syarat-syarat  yang  meliputi  dua  aspek  iaitu  kelayakan  subjek  dan kelayakan anggota  terlibat.
  1. Kelayakan subjekanggota  yang  mengajar subjek  Sains  dan  Matematik  dalam  Bahasa  Inggeris  dan  mengajar  subjek Bahasa  Inggeris  boleh  dipertimbang  menikmati  faedah  ini.
  2. Kelayakan anggotaPPP  yang  layak  dipertimbangkan  untuk  BISP adalah  PPP  yang  mengajar subjek Sains  dan  Matematik dalam  Bahasa  Inggeris, mengajar  subjek  Bahasa  Inggeris  dan  PPP  yang menggunakan  kelayakan tersebut dalam  tugas rasmi  mereka. Ia terdiri daripada syarat kelayakan opsyen, syarat kelayakan mengajar dan syarat  mencapai  tahap  penguasaan  bahasa Inggeris.
Jika kedua-dua syarat ini (subjek dan anggota) dipenuhi, maka pemberian  BISP  kepada  guru tersebut boleh dipertimbangkan.

SPI MBMMBI SPI BIL 12/2011 telah membenarkan guru menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.  Ia bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.  Bagi guru KSSR mereka perlu menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya sementara bagi guru KBSR pula mereka mempunyai pilihan sama ada mengajar subjek Sains dan Matematik dalam:
  1. BI sepenuhnya
  2. BM/ibunda sepenuhnya atau
  3. dwibahasa BM/ibunda dan BI
  • SPI ini jelas memaklumkan bahawa dasar PPSMI telah dimansuhkan dan diganti dengan dasar MBMMBI.  Ini bermakna segala hal yang berkaitan dengan PPSMI sudah tidak relevan dalam KSSR
  • Jika guru memilih pilihan 2 atau 3, maka dengan sendirinya dia tidak layak dipertimbangkan untuk dibayar BISP (kerana tidak memenuhi syarat subjek) berdasarkan punca kuasa asal iaitu Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 3/2003 (SPP ini membatalkan SPP KPM 1/2003) ada menyatakan dengan jelas tentang kelayakan anggota pada para: 
"6. Adalah ditetapkan bahawa PPP yang layak dipertimbangkan untuk BISP adalah PPP yang mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan tersebut dalam tugas rasmi mereka."



Memandangkan pekeliling ini dikeluarkan sewaktu dalam pelaksanaan dasar PPSMI maka ramai beranggapan ia tertakluk kepada dasar PPSMI - iaitu apabila dasar PPSMI ditamatkan, maka ia juga turut tamat.  Namun sebenarnya pekeliling ini tidak bersandar kepada dasar PPSMI.  Ia masih terpakai walaupun dasar PPSMI telah ditamatkan.

Kekeliruan tersebut telah membawa ramai yang menyangka apabila dasar PPSMI digantikan dengan dasar MBMMBI, maka SPP KPM Bil 3/2003 sudah terbatal (secara beransur-ansur mengikut kohort pelaksanaan KSSR/KSSM). Maka guru yang mengajar Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik KSSR dihentikan bayaran BISP sementara guru yang mengajar BI, Sains dan Matematik dalam KBSR masih terus dibayar BISP.

Sebenarnya apabila pekeliling  MBMMBI dikeluarkan, ia menetapkan agar Sains dan Matematik tidak boleh diajar dalam Bahasa Inggeris.  Ini dengan sendirinya menyebabkan guru S&M di kohort KSSR sudah tidak layak dipertimbangkan untuk bayaran BISP kerana salah satu syarat untuk mendapat BISP ialah mesti mengajar subjek Sains dan Matematik sepenuhnya dalam BI (syarat subjek). 


*Perkara inilah yang sebenarnya diambil tindakan oleh PPD Kuala Pilah, JPN Pahang dan JPN Perak (bertarikh 16 Ogos 2011).  Juga disebut dalam mesyuarat EXCO NUTP pada 11 Februari 2012 (disertakan di bawah). 


Sehubungan itu, guru yang mengajar BI dalam KSSR  sebenarnya masih layak dipertimbangkan untuk BISP atas alasan seperti berikut:
  1. Mereka masih kekal mengajar BI dalam KSSR dan tiada sebarang perubahan dasar dari segi medium bahasa pengajaran subjek ini dalam SPI 12/2011 (berbanding dengan mata pelajaran Sains dan Matematik yang sudah tidak boleh diajar dalam medium Bahasa Inggeris)
  2. MBMMBI membatalkan semua dasar dalam PPSMI namun SPP KPM ini tidak membatalkan SPP KPM 3/2003.  Selama ini mungkin ada pihak yang mengandaikan bahawa semua dasar yang dikeluarkan berkaitan PPSMI dibatalkan dengan sendirinya apabila dasar MBMMBI mengambil alih.  Namun sebenarnya tiada satu penyataan dalam mana-mana punca kuasa yang membatalkan BISP 3/2003.

Kesimpulannya:
  1. Guru yang mengajar BI KSSR - dibayar BISP sekiranya mereka memenuhi kelayakan subjek dan kelayakan individu (rujuk syarat dalam SPP KPM 3/2003)
  2. Guru yang mengajar BI KBSR - dibayar BISP sekiranya mereka memenuhi kelayakan subjek dan kelayakan individu (rujuk syarat dalam SPP KPM 3/2003)
  3. Guru Matematik/Sains KSSR  - dihentikan bayaran BISP kerana mereka sudah tidak memenuhi syarat kelayakan subjek. 
  4. Guru Matematik/Sains KBSR yang mengajar Matematik/Sains sepenuhnya dalam BI - dibayar BISP sekiranya mereka memenuhi kelayakan subjek dan kelayakan individu (rujuk syarat dalam SPP KPM 3/2003)
  5. Guru Matematik/Sains KBSR yang mengajar sepenuhnya dalam BM atau dwibahasa - dihentikan bayaran BISP kerana mereka sudah tidak memenuhi syarat kelayakan subjek. 

Persoalan:
  1. Perlukah dibayar tunggakan BISP guru BI KSSR yang dihentikan BISPnya sewaktu awal pelaksanaan KSSR dulu?
  2. Adakah pengisian maklumat pilihan bahasa ajaran mata pelajaran Sains/Matematik untuk kelas KBSR dalam APDM sebenarnya akan digunakan untuk menyemak kelayakan BISP ini?
  3. Perlukah guru yang mengajar Sains dan Matematik tidak dalam BI sepenuhnya sejak 2011 memulangkan BISP?  Tidak sukar untuk mengesan sama ada mereka mengajar sepenuhnya dalam BI atau tidak.  Ia boleh dilakukan dengan menyemak buku latihan, buku persediaan mengajar, kertas ujian/peperiksaan dan catatan pencerapan.  Sewaktu awal pelaksanaan KSSR (2011) juga sebenarnya telah dibuat akuan bahasa yang akan digunakan oleh guru untuk mengajar subjek Mat/Sains.
Adakah yang dimaksudkan dengan mengajar sepenuhnya dalam BI meliputi kertas soalan, bahasa komunikasi, latihan, buku persediaan mengajar?

1.2.13

PANDUAN JENIS-JENIS KESALAHAN DAN HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN MENGIKUT JENIS KESALAHAN


*Rujuk Buku Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia, Hal Ehwal Murid 1969-2007 ms.334
Kesalahan ringan: Diberi amaran dan sesi kaunseling
  1. Menyimpan misai, janggut atau jambang.
  2. Berambut panjang atau meyerupai kumpulan tertentu.
  3. Bermain dalam bilik darjah, koridor atau kawasan yang dilarang.
  4. Menggunakan dan membawa keluar sebarang peralatan bilik darjah dan sekolah tanpa kebenaran.
  5. Keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran.
  6. Berada di kantin pada waktu persekolahan (kecuali waktu rehat) tanpa kebenaran.
  7. Menyimpan atau menggunakan alat permainan kepunyaan sekolah tanpa kebenaran.
  8. Menggunakan alat hiburan atau elektronik sekolah tanpa kebenaran.
  9. Memasuki atau tidak mematuhi arahan makmal/bengkel/bilik khas.
  10. Memakai barang kemas atau perhiasan atau alat solek kecuali jam.
  11. Memasuki bilik khas tanpa kebenaran.
  12. Makan dan minum di dalam bilik darjah.
  13. Melakukan pembaziran elektrik.
  14. Tidak memakai pakaian sekolah yang lengkap.
  15. Semua kesalahan bersabit dengan pembelajaran (tidak membawa buku, tidak membuat kerja rumah, tidak memberi perhatian dan lain-lain).


Kesalahan sederhana: Rotan di tapak tangan (maksimum 2 kali sebatan)
  1. Melakukan mana-mana kesalahan ringan melebihi 3 kali.
  2. Menyalahgunakan/menggunakan peralatan/sumber bekalan elektrik sekolah tanpa kebenaran.
  3. Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.
  4. Tidak amanah, menipu, berbohong dan meniru ketika ujian peperiksaan.
  5. Ponteng sebarang acara rasmi sekolah.
  6. Tidak menghormati lagu-lagu/bendera/jata sekolah, negeri dan kebangsaan.
  7. Fesyen rambut keterlaluan seperti punk/skin head atau berwarna.
  8. Menconteng pada harta benda sekolah.
  9. Memakai barang kemas keterlaluan seperti menindik telinga dan memakai subang berlebihan pada satu cuping telinga.
  10. Kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini.

Kesalahan berat: Rotan di punggung (maksimum 3 kali sebatan)

  1. Melakukan mana-mana kesalahan sederhana kali ketiga.
  2. Menyimpan, membawa, mengedar, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah.
  3. Membawa, menyimpan, menghisap atau mengedar bahan tembakau.
  4. Membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau sebarang benda yg      memabukkan/mengkhayalkan.
  5. Menyebabkan/melakukan pergaduhan atau kekerasan.
  6. Melawan, mengancam, memukul, mengugut, atau mencederakan guru/pengawas/murid.
  7. Biadap terhadap guru/pengawas/murid.
  8. Memeras ugut guru/pengawas/murid.
  9. Membawa/menggunakan senjata atau alat berbahaya.
  10. Melakukan buli, penderaan atau paksaan terhadap murid lain.
  11. Mencuri, merompak, memecah masuk dan menceroboh kawasan larangan.
  12. Melakukan perjudian atau membabitkan diri dalam pertaruhan.
  13. Mencetak, menerbit, mempamer, mengedar atau menyimpan rencana, majalah atau rakaman dan multimedia terlarang.
  14. Membabitkan diri dalam kumpulan haram.
  15. Mencabul kehormatan guru/murid.
  16. Melakukan zina, liwat, hubungan luar tabii.
  17. Melacur/menjadi bohsia/bohjan/pondan.
  18. Berkesedudukan atau membabitkan diri dalam kegiatan tidak bermoral.
  19. Mengintai murid lelaki/perempuan.
  20. Menulis atau mengeluarkan kenyataan akhbar yang mencemarkan.
  21. Merosakkan harta benda sekolah/guru.
  22. Membawa atau menggunakan bahan letupan.
  23. Menulis/melukis perkataan atau gambar lucah atau melakukan perbuatan lucah.
  24. Membabitkan diri dalam tunjuk perasaan, perhimpunan haram atau merusuh.
  25. Menyalahgunakan alat permainan elektronik atau bahan-bahan multimedia.
  26. Membawa atau menggunakan alat yang menyebabkan kecederaan atau mengganggu pengajaran dan pembelajaran/peperiksaan atau ujian.
  27. Menganjur atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan yang bertentangan dengan masyarakat Malaysia.
  28. Menganjurkan atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan tanpa kebenaran pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
  29. Melakukan ponteng sekolah secara berterusan (berturut-turut) selama 60 hari selama satu tahun sesi persekolahan.
  30. Mengganggu/menjejaskan kuasa guru besar atau guru yang menjalankan tugas.
  31. Membawa masuk tetamu dari luar kawasan sekolah tanpa kebenaran.
  32. Mengedar, memiliki, membawa, melukis dan mempamerkan bahan lucah.
  33. Mengeluarkan kata-kata lucah yang kesat.
  34. Melakukan hubungan yang dicurigai.
  35. Kesalahan-kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini.

PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH


PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH MENGIKUT PERATURAN 4 DAN 8 PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959


Ramai Guru Besar dan Pengetua yang kurang jelas mengenai pelaksanaan tatacara tindakan disiplin sekolah dengan hukuman berat terhadap murid mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa sekarang.  sehubungan itu di sini  dijelaskan tatacara gantung dan buang sekolah mengikut Peraturan 4 dan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran Disiplin Sekolah 1959 yang diwartakan sebagai LN 61/59, bertarikh 20.2.1959, Ordinan Pelajaran 1957

Peruntukan Undang-Undang
Undang-undang yang berkaitan bagi mengendalikan kes-kes pelanggaran disiplin di sekolah-sekolah ialah Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, yang telah diwartakan sebagai LN61/59 bertarikh 20.2.1959. Mengikut peraturan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan melalui Peraturan 4, bahawa pihak berkuasa disiplin di sekolah ialah Guru Besar/Pengetua. Peraturan 4 yang berbunyi seperti di bawah ini menegaskan kuasa disiplin tersebut adalah di tangan Guru Besar/Pengetua.
4.     Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid sekolah itu.
Kerajaan juga memberi kuasa menggantung dan membuang murid dari sekolah kepada Guru Besar/Pengetua. Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 seperti di bawah ini menjelaskan peruntukan tersebut.
8.     Pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuaskan hati Guru Besar sesebuah sekolah:
a.     sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman di mana-mana sekolah yang seseorang murid patut digantung persekolahannya ataupun dibuang sekolah;

Implikasi Peruntukan Undang-Undang Mengikut Peraturan 4 dan Peraturan 8.
Adalah jelas dari kedua-dua peraturan ini, iaitu Peraturan 4 dan 8 Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, bahawa pihak berkuasa disiplin ke atas murid ialah Guru Besar/Pengetua. Tegasnya hanya Guru Besar/ Pengetua sahaja di bawah peraturan tersebut yang diberi kuasa menggantung atau membuang murid dari sekolah apabila beliau berpuas hati bahawa demi untuk mengekalkan disiplin dan ketenteraman di sekolah seseorang murid itu patut menerima hukuman sedemikian. Ini bermakna tidak ada kuasa lain selain Guru Besar /Pengetua di sesebuah sekolah dari segi menjatuhkan hukuman menggantung dan membuang murid dari sekolah.

Adalah di luar kuasa undang-undang jika penggantungan atau pembuangan pelajar dari sekolah diputuskan oleh Lembaga Disiplin ataupun Jawatankuasa Tatatertib Sekolah. Peraturan 4 dan 8 tidak memperuntukkan mengenai kewujudan Lembaga Disiplin Sekolah. Maka itu Guru Besar/Pengetua hendaklah tidak terikat dengan pandangan atau nasihat Lembaga Disiplin sekolah. Dengan perkataan lain keputusan menggantung atau membuang pelajar dari sekolah hendaklah keputusan Guru Besar/Pengetua sendiri.

Jika keputusan menggantung atau membuang murid adalah merupakan keputusan hasil nasihat dari Lembaga Disiplin Sekolah maka keputusan yang dibuat itu void and of no legal effect. Sebarang keputusan penggantungan atau pembuangan pelajar tersebut jika dicabar di mahkamah maka ia tidak boleh dipertahankan.
Secara tegas juga Peraturan 4 dan 8 berkehendakkan surat-surat tindakan tatatertib gantung atau buang sekolah ditandatangani sendiri oleh Pengetua/Guru Besar.

Keperluan-keperluan “teknikal” yang lahir dari peruntukan undang-undang berdasarkan Peraturan 4 dan 8 perlu diberi perhatian sewajarnya dan begitu juga bagi setiap prosedur dan surat-surat tatatertib yang dikeluarkan kepada tertuduh. Jika prosedur dan tatacara yang sepatutnya tidak dipatuhi, keputusan hukuman jika dicabar di mahkamah, ia sukar dipertahankan.

Perkara-Perkara “Teknikal” yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan Peraturan 4 dan 8. 
      i.                        Setiap aspek teknikal hendaklah diberi perhatian sewajarnya semasa melaksanakan tindakan disiplin gantung dan buang sekolah.
a.     Gantung sekolah mengikut Peraturan 8 membawa maksud sebagai hukuman disiplin ataupun sebagai membolehkan siasatan lanjut sesuatu kes dibuat sebelum keputusan hukuman disiplin dijatuhkan.
b.     Bagi kedua-dua keadaan ini prosedur yang berlainan hendaklah dipatuhi.
c.     Tindakan disiplin buang sekolah pula adalah langkah terakhir setelah kegagalan langkah-langkah tatatertib terdahulu, termasuk sesi kaunseling yang kesemuanya sepatutnya mempunyai dokumentasi lengkap dan teratur.

     ii.         Surat tatatertib apabila dikeluarkan hendaklah mengandungi nama tertuduh yang rasmi mengikut kad pengenalan, nombor kad pengenalan ( atau jika tiada kad pengenalan, memadai nombor surat beranak ) dan kelas beliau belajar, agar surat itu tidak dipertikaikan kesahihannya. Maklumat-maklumat ini seharusnya sama seperti dalam jadual kedatangan sekolah.
   iii.         Setiap surat tatatertib hendaklah jelas dan tepat dari segi waktu kejadian, tarikh kejadian tempat berlaku dan mereka yang terlibat dengan saksi-saksi yang boleh dipertanggungjawabkan. (Dalam perkara ini Pengetua/Guru Besar sewajarnya mendapatkan laporan bertulis yang lengkap mengenai kejadian tersebut sebelum keputusan diambil).

    iv.         Peraturan sekolah yang bertulis yang dilanggar hendaklah dinyatakan dengan jelas mengikut bab atau seksyen yang berkenaan. (Ini bermakna semua Pengetua/Guru Besar harus melaksanakan saranan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975 yang bertarikh 4.11.1975 mengenai perkara ini).

     v.         Peruntukan undang-undang mengikut peraturan 4 dan 8 Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 hendaklah dirujuk bagi setiap kes.

    vi.         Oleh kerana hanya Guru Besar atau Pengetua yang boleh menggantung atau membuang murid dari sekolah maka surat-surat tatatertib berkaitan hendaklah ditandantangani oleh Guru Besar/Pengetua.

  vii.         Setiap surat tatatertib hendaklah disalinkan kepada Pendaftar Sekolah-Sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah berkenaan dan ibu bapa/penjaga tertuduh.

 viii.         Peruntukan undang-undang bagi ibu bapa/penjaga untuk membuat rayuan di atas hukuman tatatertib yang dikenakan terhadap anak/jagaan hendaklah dimaklumkan dengan jelas.

    ix.         Setiap surat tatatertib hendaklah diakui terima oleh tertuduh dengan dua orang saksi. Salinan surat kepada ibu bapa atau penjaga hendaklah mengikut prosedur yang sama.

     x.         Setiap murid yang akan dihukum hendaklah diberi peluang didengar dan membela diri bagi setiap pertuduhan. Hukuman tidak boleh dilaksanakan tanpa murid itu diberi peluang memberi pembelaan dirinya. Tempoh beliau menjawab pertuduhan hendaklah tidak kurang daripada 14 hari.
    xi.    
Sesuatu kesalahan disiplin apabila telah dijatuhkan hukuman, murid itu tidak boleh dihukum sekali lagi atas kesalahan yang sama. Contohnya seorang murid telah dihukum rotan oleh guru disiplin atas kesalahan mencuri. Maka Guru Besar/Pengetua tidak boleh pula menggantung atau membuang murid tersebut atas kesalahan yang sama.


Keperluan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Dalam Setiap Kes Gantung dan Buang Sekolah.
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Bil. 4 Tahun 1991 bertarikh 19.5.1991, menegaskan agar Guru Besar/Pengetua atau Penolong Kanan dikehendaki dengan serta-merta melapor segala kejadian yang tidak diingini seperti perlanggaran disiplin pelajar yang berat. Kes gantung dan buang sekolah sering menjadi berita dalam surat khabar. Oleh itu selepas pihak-pihak berkenaan dihubungi dengan telefon, laporan bertulis hendaklah menyusul kemudian dengan segera.

Contoh-contoh surat tindakan tatatertib dan carta aliran prosedur tatatertib dengan hukuman berat :
Untuk dijadikan panduan yang lebih jelas, dan supaya tidak berlaku kesilapan-kesilapan teknikal semasa mengambil tindakan disiplin gantung dan buang sekolah dokumen-dokumen berikut perlu disertakan dan diteliti:
               i.         Lampiran A: Ordinan Pelajaran 1957,Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
              ii.         Lampiran B: Contoh surat pertuduhan gantung sekolah sebagai hukuman tatatertib.
            iii.         Lampiran C: Contoh surat keputusan gantung sekolah sebagai hukuman tatatertib.
             iv.         Lampiran D: Contoh surat gantung sekolah utk tujuan siasatan hingga tindakan disiplin selesai.
              v.         Lampiran E: Contoh surat pertuduhan dengan tujuan buang sekolah sebagai hukuman.
             vi.         Lampiran F: Contoh surat keputusan tindakan tatatertib buang sekolah mengikut peraturan 8
           vii.         Lampiran G: Carta aliran prosedur tindakan gantung sekolah sebagai hukuman.
          viii.         Lampiran H: Carta aliran prosedur tindakan disiplin gantung pelajar utk tujuan buang sekolah.
             ix.         Lampiran I: Carta aliran prosedur tindakan disiplin buang sekolah.
              x.         Lampiran J: Contoh Surat Akuan Terima.