... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

27.1.21

As salam dan selamat sejahtera,
Dipohon semua guru besar dan guru memahami intipati penjelasan daripada facebook Menteri Pendidikan YBMK DrvRadzi Jidin ini berkaitan PdPR.

Dr Radzi Jidin
https://www.facebook.com/1560866277543941/posts/2581409692156256/?d=n
Apabila PKP dilaksana buat pertama kali pada 18 Mac 2020, sesi persekolahan dijalankan dengan kaedah yang cukup berbeza daripada sebelumnya. Pada waktu itu KPM telah memutuskan supaya Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
KPM memahami bahawa murid-murid di seluruh negara merangkumi pelbagai latar belakang sosioekonomi. Setiap guru juga berdepan dengan situasi dan cabaran yang berbeza. Oleh itu, sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, KPM sentiasa menekankan bahawa kaedah PdPR yang ingin digunakan mestilah mengambil kira kesesuaian guru dan murid.
Sepertimana yang dijelaskan dalam Manual PdPR KPM, PdPR tidak terhad kepada kaedah dalam talian. Guru boleh menetapkan pelbagai kaedah PdPR luar talian yang bersesuaian untuk murid mereka.
Antara kaedah luar talian yang digunakan ialah penyerahan modul pembelajaran atau latihan kepada murid. Murid akan melaksanakan PdPR dengan menyiapkan modul yang diberikan dan menghantar semula kepada guru untuk diperiksa. Kemudian, guru akan menyerahkan modul yang berikutnya.
Modul diserahkan kepada murid melalui pelbagai pendekatan. Ada sekolah yang menggunakan kaedah pandu lalu untuk penyerahan modul. Ramai juga guru yang menghantar sendiri modul ke rumah murid. Bahkan, saya dimaklumkan guru SMK Pulau Gaya menaiki bot untuk menghantar bahan pembelajaran kepada murid mereka.
Sama ada secara dalam talian mahupun di luar talian, kesungguhan guru untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik tiada tolok bandingnya. Terima kasih, Cikgu!
Kepada ibu bapa, kami mengucapkan setinggi penghargaan atas sokongan dan dokongan yang diberikan kepada guru sepanjang tempoh yang mencabar ini.
Pandemik COVID-19 yang muncul tanpa diduga telah memberi kesan mendalam kepada sektor pendidikan di seluruh dunia. Walau apa pun cabaran, KPM akan terus berusaha gigih untuk memberikan yang terbaik kepada generasi pewaris negara.
Kami tidak sempurna tetapi kami cakna dan sentiasa ikhlas berusaha.
Marilah kita bersatu hati untuk lakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak kita. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Sent from my iPhone