PROSEDUR GANTUNG DAN
BUANG SEKOLAH MENGIKUT PERATURAN 4 DAN 8 PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN
(DISIPLIN SEKOLAH) 1959
Ramai
Guru Besar dan Pengetua yang kurang jelas mengenai pelaksanaan tatacara
tindakan disiplin sekolah dengan hukuman berat terhadap murid mengikut
peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa sekarang. sehubungan itu di sini dijelaskan tatacara gantung dan buang sekolah mengikut Peraturan 4 dan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran Disiplin Sekolah 1959 yang diwartakan sebagai LN 61/59, bertarikh 20.2.1959, Ordinan Pelajaran 1957
Peruntukan Undang-Undang
Undang-undang
yang berkaitan bagi mengendalikan kes-kes pelanggaran disiplin di
sekolah-sekolah ialah Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, yang
telah diwartakan sebagai LN61/59 bertarikh 20.2.1959. Mengikut peraturan
tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan melalui Peraturan 4, bahawa pihak
berkuasa disiplin di sekolah ialah Guru Besar/Pengetua. Peraturan 4 yang berbunyi
seperti di bawah ini menegaskan kuasa disiplin tersebut adalah di tangan Guru
Besar/Pengetua.
4.
Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas
disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas
guru-guru dan murid-murid sekolah itu.
Kerajaan
juga memberi kuasa menggantung dan membuang murid dari sekolah kepada Guru
Besar/Pengetua. Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah)
1959 seperti di bawah ini menjelaskan peruntukan tersebut.
8.
Pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuaskan hati Guru
Besar sesebuah sekolah:
a.
sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau
ketenteraman di mana-mana sekolah yang seseorang murid patut digantung
persekolahannya ataupun dibuang sekolah;
Implikasi Peruntukan Undang-Undang Mengikut Peraturan 4
dan Peraturan 8.
Adalah
jelas dari kedua-dua peraturan ini, iaitu Peraturan 4 dan 8 Peraturan-Peraturan
Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, bahawa pihak berkuasa disiplin ke atas murid
ialah Guru Besar/Pengetua. Tegasnya hanya Guru Besar/ Pengetua sahaja di bawah
peraturan tersebut yang diberi kuasa menggantung atau membuang murid dari
sekolah apabila beliau berpuas hati bahawa demi untuk mengekalkan disiplin dan
ketenteraman di sekolah seseorang murid itu patut menerima hukuman sedemikian.
Ini bermakna tidak ada kuasa lain selain Guru Besar /Pengetua di sesebuah
sekolah dari segi menjatuhkan hukuman menggantung dan membuang murid dari
sekolah.
Adalah
di luar kuasa undang-undang jika penggantungan atau pembuangan pelajar dari
sekolah diputuskan oleh Lembaga Disiplin ataupun Jawatankuasa Tatatertib
Sekolah. Peraturan 4 dan 8 tidak memperuntukkan mengenai kewujudan Lembaga
Disiplin Sekolah. Maka itu Guru Besar/Pengetua hendaklah tidak terikat dengan
pandangan atau nasihat Lembaga Disiplin sekolah. Dengan perkataan lain
keputusan menggantung atau membuang pelajar dari sekolah hendaklah keputusan
Guru Besar/Pengetua sendiri.
Jika
keputusan menggantung atau membuang murid adalah merupakan keputusan hasil
nasihat dari Lembaga Disiplin Sekolah maka keputusan yang dibuat itu void and of no legal effect. Sebarang
keputusan penggantungan atau pembuangan pelajar tersebut jika dicabar di
mahkamah maka ia tidak boleh dipertahankan.
Secara
tegas juga Peraturan 4 dan 8 berkehendakkan surat-surat tindakan tatatertib
gantung atau buang sekolah ditandatangani sendiri oleh Pengetua/Guru Besar.
Keperluan-keperluan
“teknikal” yang lahir dari peruntukan undang-undang berdasarkan Peraturan 4 dan
8 perlu diberi perhatian sewajarnya dan begitu juga bagi setiap prosedur dan
surat-surat tatatertib yang dikeluarkan kepada tertuduh. Jika prosedur dan
tatacara yang sepatutnya tidak dipatuhi, keputusan hukuman jika dicabar di
mahkamah, ia sukar dipertahankan.
Perkara-Perkara “Teknikal” yang perlu diberi perhatian
dalam melaksanakan Peraturan 4 dan 8.
i. Setiap aspek teknikal hendaklah diberi perhatian sewajarnya
semasa melaksanakan tindakan disiplin gantung dan buang sekolah.
a.
Gantung sekolah mengikut Peraturan 8 membawa maksud sebagai
hukuman disiplin ataupun sebagai membolehkan siasatan lanjut sesuatu kes dibuat
sebelum keputusan hukuman disiplin dijatuhkan.
b.
Bagi kedua-dua keadaan ini prosedur yang berlainan hendaklah
dipatuhi.
c.
Tindakan disiplin buang sekolah pula adalah langkah terakhir
setelah kegagalan langkah-langkah tatatertib terdahulu, termasuk sesi
kaunseling yang kesemuanya sepatutnya mempunyai dokumentasi lengkap dan
teratur.
ii.
Surat tatatertib apabila dikeluarkan hendaklah mengandungi
nama tertuduh yang rasmi mengikut kad pengenalan, nombor kad pengenalan ( atau
jika tiada kad pengenalan, memadai nombor surat beranak ) dan kelas
beliau belajar, agar surat itu tidak dipertikaikan kesahihannya.
Maklumat-maklumat ini seharusnya sama seperti dalam jadual kedatangan sekolah.
iii.
Setiap surat tatatertib hendaklah jelas dan tepat dari
segi waktu kejadian, tarikh kejadian tempat berlaku dan mereka yang terlibat
dengan saksi-saksi yang boleh dipertanggungjawabkan. (Dalam perkara ini
Pengetua/Guru Besar sewajarnya mendapatkan laporan bertulis yang lengkap
mengenai kejadian tersebut sebelum keputusan diambil).
iv.
Peraturan sekolah yang bertulis yang dilanggar hendaklah
dinyatakan dengan jelas mengikut bab atau seksyen yang berkenaan. (Ini bermakna
semua Pengetua/Guru Besar harus melaksanakan saranan Surat Pekeliling Ikhtisas
Bil. 9/1975 yang bertarikh 4.11.1975 mengenai perkara ini).
v.
Peruntukan undang-undang mengikut peraturan 4 dan 8 Peraturan-peraturan
Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 hendaklah dirujuk bagi setiap kes.
vi.
Oleh kerana hanya Guru Besar atau Pengetua yang boleh
menggantung atau membuang murid dari sekolah maka surat-surat tatatertib
berkaitan hendaklah ditandantangani oleh Guru Besar/Pengetua.
vii.
Setiap surat tatatertib hendaklah disalinkan kepada
Pendaftar Sekolah-Sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah berkenaan dan ibu bapa/penjaga
tertuduh.
viii.
Peruntukan undang-undang bagi ibu bapa/penjaga untuk membuat
rayuan di atas hukuman tatatertib yang dikenakan terhadap anak/jagaan hendaklah
dimaklumkan dengan jelas.
ix.
Setiap surat tatatertib hendaklah diakui terima oleh
tertuduh dengan dua orang saksi. Salinan surat kepada ibu bapa atau
penjaga hendaklah mengikut prosedur yang sama.
x.
Setiap murid yang akan dihukum hendaklah diberi peluang didengar
dan membela diri bagi setiap pertuduhan. Hukuman tidak boleh dilaksanakan tanpa
murid itu diberi peluang memberi pembelaan dirinya. Tempoh beliau menjawab
pertuduhan hendaklah tidak kurang daripada 14 hari.
xi.
Sesuatu kesalahan disiplin apabila telah dijatuhkan hukuman,
murid itu tidak boleh dihukum sekali lagi atas kesalahan yang sama. Contohnya
seorang murid telah dihukum rotan oleh guru disiplin atas kesalahan mencuri.
Maka Guru Besar/Pengetua tidak boleh pula menggantung atau membuang murid
tersebut atas kesalahan yang sama.
Keperluan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan
Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Dalam Setiap Kes Gantung dan Buang
Sekolah.
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Bil. 4
Tahun 1991 bertarikh 19.5.1991, menegaskan agar Guru Besar/Pengetua atau
Penolong Kanan dikehendaki dengan serta-merta melapor segala kejadian yang
tidak diingini seperti perlanggaran disiplin pelajar yang berat. Kes gantung
dan buang sekolah sering menjadi berita dalam surat khabar. Oleh itu
selepas pihak-pihak berkenaan dihubungi dengan telefon, laporan bertulis
hendaklah menyusul kemudian dengan segera.
Contoh-contoh surat tindakan tatatertib dan
carta aliran prosedur tatatertib dengan hukuman berat :
Untuk dijadikan panduan yang lebih jelas, dan supaya tidak
berlaku kesilapan-kesilapan teknikal semasa mengambil tindakan disiplin gantung
dan buang sekolah dokumen-dokumen berikut perlu disertakan dan diteliti:
i.
Lampiran A: Ordinan Pelajaran 1957,Peraturan-Peraturan Pelajaran
(Disiplin Sekolah) 1959.
ii.
Lampiran B: Contoh surat pertuduhan gantung sekolah
sebagai hukuman tatatertib.
iii.
Lampiran C: Contoh surat keputusan gantung sekolah
sebagai hukuman tatatertib.
iv.
Lampiran D: Contoh surat gantung sekolah utk tujuan
siasatan hingga tindakan disiplin selesai.
v.
Lampiran E: Contoh surat pertuduhan dengan tujuan
buang sekolah sebagai hukuman.
vi.
Lampiran F: Contoh surat keputusan tindakan tatatertib buang
sekolah mengikut peraturan 8
vii.
Lampiran G: Carta aliran prosedur tindakan gantung sekolah
sebagai hukuman.
viii.
Lampiran H: Carta aliran prosedur tindakan disiplin gantung
pelajar utk tujuan buang sekolah.
ix.
Lampiran I: Carta aliran prosedur tindakan disiplin buang
sekolah.
x.
Lampiran J: Contoh Surat Akuan Terima.