... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

9.10.12

Guru: Kesan Kualiti Seorang Guru



Pada tahun 2011, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan kajian kualitatif tentang pengajaran guru. Daripada pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah di seluruh Malaysia, didapati bahawa hanya 12% daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, iaitu melaksanakan lebih banyak amalan terbaik pedagogi,

manakala 38% lagi berada pada standard yang memuaskan. Sebaliknya, 50% daripada pemerhatian kajian menunjukkan bahawa pengajaran yang disampaikan tidak memuaskan. Pengajaran tidak menarik minat murid sepenuhnya apabila guru lebih bergantung pada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran. Guru lebih berhasrat untuk memastikan murid memahami kandungan asas mata pelajaran untuk tujuan pentaksiran sumatif daripada menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi. Sebagai contoh, murid lebih berkemungkinan diuji keupayaan mengingati fakta (70% daripada semua pemerhatian pengajaran) berbanding menganalisis dan menginterpretasi data (18%), atau mensintesis maklumat (15%).

Persepsi tentang takrifan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti antara pihak sekolah dengan JNJK didapati berbeza. Sebagai contoh, 63% sekolah menyatakan amalan pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah Baik atau Cemerlang, berbanding penaziran JNJK yang menyatakan hanya 13% daripada sekolah mencapai tahap tersebut. Gabungan kedua-dua data ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha diperlukan bagi meningkatkan kemahiran pedagogi guru sedia ada untuk memastikan mereka dapat menyampaikan pengetahuan dan kemahiran baharu yang dihasratkan.

Petikan daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025
Bab 5  Guru dan Pemimpin Sekolah

No comments:

Post a Comment