... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

9.10.12

PPPM 2013-2025: Kemahiran Khusus Setiap Murid


 Pengetahuan: Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi.  Selain itu, adalah penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan dengan pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia dan dunia menerusi mata pelajaran Sejarah, Kemanusiaan dan Geografi. Murid juga digalakkan untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang lain seperti Seni, Muzik dan Sukan.

Kemahiran Berfikir: Setiap murid belajar cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan murid menghubungkan pelbagai disiplin ilmu. Lebih penting lagi, dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, mereka mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian masalah, penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif. Dalam sistem pendidikan, bidang ini kurang diberi perhatian menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kreatif di luar konteks akademik.

Kemahiran Memimpin: Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.

Kemahiran Dwibahasa: Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid untuk mempelajarai bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Etika dan Kerohanian: Sistem pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuhi ketika dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.

Identiti Nasional: Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat kukuh cintakan tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.

No comments:

Post a Comment