... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

10.5.11

Pentaksiran dalam KSSR


Sebagaimana yang dimaklumi murid Tahun 1 di seluruh negara mulai tahun 2011 merupakan perintis terhadap pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini adalah menggantikan kurikulum lama yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR telah mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan. Sungguhpun demikian, sekolah masih tetap perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid ini berada di landasan yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid ini secara holistik dapat dilaksanakan maka pendekatan dan cakupan sistem pentaksiran ini berbeza daripada biasa iaitu melalui Pentaksiran Sekolah yang menggunakan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai apa yang mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran ini. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (berdasarkan peratus markah yang diperolehi dalam peperiksaan) sebaliknya mereka akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap mata pelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam dokumen standard prestasi mata pelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

  1. Bahasa Malaysia
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Pendidikan Islam
  7. Pendidikan Moral
  8. Matematik
  9. Pendidikan Khas
  10. Pendidikan Jasmani
  11. Pendidikan Kesihatan
  12. Dunia Sains dan Teknologi
  13. Dunia Seni Visual
  14. Dunia Muzik

Guru mata pelajaran perlu membina instrumen yang merupakan alat untuk menguji penguasaan atau pencapaian murid bagi sesuatu domain. Instrumen ini boleh dalam bentuk ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Setelah instrumen ini digunakan ke atas murid maka barulah ia boleh dijadikan sebagai evidens. Untuk membina instrumen ini guru perlu merujuk Dokumen Standard Prestasi mata pelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menunjukkan di mana kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya. Perkembangan dalam standard itu terbahagi kepada dua iaitu perkembangan secara mendatar (konstruk) dan perkembangan menegak (band). Pertumbuhan murid dijelaskan dengan satu atau lebih qualifier menggunakan perkataan atau rangkai kata yang betul menggambarkan standard dalam bentuk hasil pembelajaran.


Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, adalah diharapkan agar sistem pendidikan kita mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

No comments:

Post a Comment