Industri berasaskan teknologi dan sains adalah sektor pekerjaan yang menawarkan gaji paling tinggi di negara ini, menurut kaji selidik terbaru portal pengambilan pekerja dalam talian, Jobstreet.com.
Kaji selidik mengenai 10 Pekerjaan Menawarkan Gaji Tertinggi di Malaysia itu adalah berdasarkan gaji yang disenaraikan oleh majikan di laman web Jobstreet.com bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013.
Jobstreet.com berkata, kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif yang mengkhusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji purata RM2,800 sebulan.
Graduan baru
Bagi pekerja peringkat pengurusan dan ke atas dan mengkhusus dalam bidang IT, sains dan kejuruteraan, mereka dibayar gaji yang lebih tinggi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian secara purata boleh menjangkakan gaji RM2,100 sebulan yang mana gaji yang ditawarkan untuk golongan itu membabitkan semua industri adalah antara RM1,600 hingga RM3,000.
Menurut Jobstreet.com, sektor farmasi menawarkan gaji tertinggi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda yang baru menamatkan pengajian dengan pendapatan RM3,600 sebulan sebagai gaji permulaan, manakala eksekutif diberi tanggungjawab merangka strategi korporat menduduki tempat kedua dengan gaji asas RM3,200.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu hanya membabitkan gaji pokok dan tidak termasuk faedah lain seperti jumlah kelayakan cuti, faedah perubatan, insurans dan insentif lain.
Portal itu berkata, walaupun doktor muda boleh mencapai gaji sebanyak RM2,700, gaji mereka boleh meningkat dengan pantas kepada kirakira RM3,900 sebulan dengan hanya tiga hingga empat tahun pengalaman.