... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

21.2.10

PEGAWAI BERPRESTASI RENDAH DAN PEGAWAI YANG BERMASALAH

Cabutan daripada SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 1998

Pegawai Berprestasi Rendah
6. Pegawai berprestasi rendah adalah pegawai yang tidak dapat menyumbang ke arah pencapaian objektif Jabatan dan khususnya mereka gagal mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang telah ditetapkan bersama berdasarkan tahap dan kedudukan jawatan pegawai tersebut. Pegawai seperti ini dikatakan pegawai yang tak produktif, "non performer", tidak mempunyai sikap bersungguh-sungguh, kurang berusaha dan kadangkala mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang rendah, serta mempunyai masalah peribadi dan "interpersonal relationship" baik dengan pihak pengurusan, rakan sejawat atau kakitangan bawahan.

7. Lazimnya Pegawai berprestasi rendah sepatutnya ditunjukkan dengan pencapaian LNPT pada tahap 49.99% dan ke bawah. Pegawai ini sewajarnya memperolehi pergerakan gaji statik. Secara purata, skel peratusan prestasi yang diperolehi adalah 3 atau 4 iaitu pada tahap rendah dan tidak memuaskan bagi sernua aspek penilaian; kegiatan dan sumbangan, penghasilan kerja, pengetahuan dan kemahiran, kualiti peribadi dan hubungan dan kerjasama.

Pegawai Yang Bermasalah
8. Walau pun demikian, kadang-kala seseorang pegawai itu mencapai LNPT yang melebihi 50% ke atas iaitu memperolehi pergerakan gaji mendatar, menegak atau melintang tetapi pada hakikatnya pegawai ini masih dikategorikan sebagai pegawai yang bermasalah. Pegawai dalam kategori ini boleh dilihat antaranya seperti berikut:-
  1. dari segi kualiti peribadi iaitu masalah dari segi hubungannya ('interpersonal relationship') dengan ketua, rakan sejawat, kakitangan bawahan dan juga dengan pelanggan dari luar. Ini disebabkan mereka ini mempunyai sikap agresif atau suka menonjolkan diri atau suka menyalahkan orang lain di samping menganggap dirinya sahaja yang betul. Permasalahan ini merangkumi aspek sikap, tingkah-laku, emosi dan nilai hidup seseorang individu itu;
  2. pegawai yang menghadapi masalah kesihatan mental dan fizikal, yang pada zahir/fizikal memperlihatkan seorang pegawai yang normal tetapi dalam keadaan dan masa tertentu perangai dan tingkahlakunya berubah dan sukar dikawal;
  3. pegawai yang lemah dari segi daya kepimpinan, membuat keputusan dan sebagainya;
  4. pegawai yang tidak dapat memberikan tumpuan kepada tugas hakikinya atau memberi keutamaan kepada tugas-tugasnya atau tidak dapat membawa organisasinya ke arah mencapai objektif yang telah ditetapkan;
  5. pegawai yang tidak dapat menghormati ketua;
  6. pegawai yang tidak dapat bekerja sebagai satu pasukan; atau
  7. pegawai yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perkembangan semasa.

17.2.10

Kurikulum baru mantapkan bahasa Inggeris tahun depan

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat rendah serta menengah selewat-lewatnya Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan pelbagai kaedah pengajaran sedia ada dan tambahan termasuk muzik, sastera, 'choral speaking' dan sebagainya.

"Pihak kementerian akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut selepas duduk semeja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan serta pakar-pakar dalam bahasa Inggeris bagi merangka kertas konsep (cadangan) untuk diteliti, kita anggarkan empat hingga lima bulan bagi menyiapkan kurikulum itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pakar-pakar bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara turut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulum itu.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Memartabatkan Profesion Keguruan yang dihadiri guru, kesatuan guru serta NGO dari seluruh negara. Seminar dua hari anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan masalah serta mencari hala tuju baru bagi profesion keguruan.

Alimuddin berkata, keputusan untuk memperkenalkan kurikulum baru itu dibuat berikutan pengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengarahkan PPSMI diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Katanya, kementerian juga sedang dalam peringkat menyediakan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) termasuk di Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menggunakan 100 peratus Bahasa Inggeris dalam pembelajarannya.

"Ini bagi menyediakan bakal-bakal guru berkenaan agar menguasai sepenuhnya bahasa itu sebelum mengajar dan proses penyediaan ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun," katanya lagi.
- BERNAMA

10.2.10

Perkara-perkara yang boleh membawa ke arah tindakan tatatertib atau amaran

  1. Tidak menulis buku rekod
  2. Lewat hadir ke sekolah tanpa sebab
  3. Tidak hadir kerja tanpa sebab
  4. Tidak memohon kebenaran keluar negara
  5. Surat-menyurat kepada kerajaan mengenai perkhidmatan diri mesti melalui Pengetua/Guru Besar kecuali kepada kesatuan guru
  6. Tidak masuk kelas mengajar tanpa sebab
  7. Tidak kemukakan sijil cuti sakit
  8. Memukul pelajar
  9. Kes jenayah

5.2.10

Cabutan Surat Pekeliling Ikhtisas: Ketepatan Masa

SPI 2/81 - Ketepatan Masa


  • Waktu bertugas di sekolah – waktu datang, balik, masuk kelas, aktiviti. Ketepatan juga bermakna guru hendaklah mengikut jadual pengajaran dan tidak boleh meninggalkan kelasnya atau kawasan sekolah sebelum tiba masanya untuk berbuat demikian


SPI 3/1981 - Penggunaan waktu tidak mengajar/waktu luang (free period) oleh Guru-guru

Waktu luang adalah waktu bekerja.

  1. Menggantikan guru yang tidak hadir mengajar di sesebuah kelas
  2. Buat persediaan untuk mengajar seperti membaca buku tambahan, buat nota mengajar, sediakan alat mengajar dsb
  3. Memeriksa buku latihan murid
  4. Mengadakan pertemuan khas dengan murid bermasalah pelajaran yang diajar
  5. Menyediakan aktiviti gerkerja kokurikulum
  6. Lain-lain tugas yang fikirkan perlu atau diarahkan oleh Guru Besar




SPI 12/1988 - Larangan menjalankan jualan terus di sekolah-sekolah
Tidak boleh

  1. sesiapa datang jual barang terus kepada pelajar dan guru dalam waktu persekolahan
  2. mengadakan pameran, demonstrasi dan seumpamanya di sekolah sebagai promosi kepada guru dan murid
  3. melantik sekolah menjadi wakil pengedar atau penjual tanpa permintaan dari pengurusan koperasi sekolah atau JK PIBG


Yang boleh adalah

  1. pameran, demonstrasi, promosi dan jualan dilakukan pada hari tertentu seperti pada hari sukan, hari guru, mesyuarat agung PIBG dsb
  2. Promosi, Demonstrasi adalah untuk perhatian pentadbir sekolah, pengurusan koperasi dan JK PIBG untuk perhatian dan pertimbangan tanpa melibatkan guru dan pelajar
  3. Surat kebenaran daripada KPM/JPN/PPD