... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...
Showing posts with label KSSR. Show all posts
Showing posts with label KSSR. Show all posts

24.9.12

Sudah PBSkah Kita?


Taklimat PBS di Masjid Putra, Putrajaya kepada guru-guru Tahun 1 dan 2 semua sekolah di Putrajaya.
Untuk memuat turun bahan persembahan, sila klik di sini.

23.9.12

KSSR: Perkongsian Pengalaman

Pada tahun 2012 ini, pelaksanaan KSSR dalam sistem pendidikan di negara kita telahpun memasuki tahun 2.  Di dalam KSSR tiada lagi dokumen Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan.   Sebaliknya kini Dokumen Standard Kurikulum pula mengambil alih sebagai dokumen rujukan rasmi.  Guru perlu menggunakan Standard Kurikulum ini untuk merancang Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Mengajar Harian.  Standard Kurikulum ini disediakan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.  Berdasar dan berpandukan Standard Kurikulum ini, Lembaga Peperiksaan membina Standard Prestasi dan Bahagian Buku Teks pula menyediakan buku teks/aktiviti.

Hasrat KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu




Buku teks digunakan oleh guru untuk memastikan tidak terpesong dari kehendak Standard Kurikulum.  Pencapaian murid pula ditaksir dengan menggunakan instrumen yang dibina oleh guru.  Instrumen ini hendaklah dibina agar mematuhi kehendak Standard Prestasi.  Instrumen ini mudah untuk diurus jika ia dilabel mengikut nombor band, deskriptor dan eviden yang terdapat di Standard Prestasi.

Sekiranya kita benar-benar melaksanakan KSSR dan PBS sudah pasti banyak perkara baru yang ditemui.  Perkara baru sinonim dengan isu, masalah dan penyelesaiannya. Apakah isu dan masalah yang telah kita lalui dan harungi?  Bagaimanakah cara kita menangani dan menyelesaikannya?

Senarai e-Perkhidmatan di KPM


20.9.12

Bahan Pembentangan Kolokium Pengurusan PBS di IAB

Ini ialah bahan  pembentangan bertajuk "Dari Teori Kepada Amalan di Bilik Darjah: Pelaksanaan PBS di SK Taman Putra Perdana, Sepang" dalam KOLOKIUM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH, INSTITUT AMINUDDIN BAKI 2012 petang tadi.
Untuk muat turun, sila klik di sini

19.9.12

Bahan Persembahan PBS

Ini ialah pautan bahan Taklimat PBS untuk Guru Besar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan yang telah disampaikan oleh En. Sukimin bin Juki, Guru Besar SK Taman Putra Perdana pada 18 September 2012.

19.1.12

KSSR Lengkapi Kemahiran Hadapi Cabaran

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.


Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu (2011) bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.

Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?
KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).


KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu? 
Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.

Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas? 
Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.

Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?
Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?
KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM  (Bahagian Pembangunan Kurikulum) atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.

Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?

KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.

Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

- Berita Harian 29/12/2011|

16.1.12

Perbezaan KBSR dengan KSSR

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah memasuki ke Tahun 2.  Ini bermakna di sesebuah sekolah murid Tahun 1 dan 2 akan mengikuti kurikulum KSSR sementara murid di Tahun 3, 4, 5 dan 6 pula masih mengikuti kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).  Sememangnya terdapat perbezaan di antara kedua-dua kurikulum ini.  Apakah perbezaannya yang signifikan? 
  1. Dokumen kurikulum KSSR dipanggil sebagai Dokumen Standard.  Tiada lagi Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.  
  2. KBSR menetapkan hasil pembelajaran (learning outcome) sebagai sasaran yang ingin dicapai setelah menamatkan sesuatu prose pengajaran dan pembelajaran (p&p) namun bagi KSSR ia menekankan standard kandungan dan standard pembelajaran sebagai sasarannya sewaktu guru merancang pembelajaran dan pengajaran (p&p).
  3. Strategi untuk murid menguasai Bahasa Inggeris dalam  KBSR ialah dasar PPSMI sementara dalam KSSR pula strateginya ialah dasar MBMMBI.
  4. Penilaian dalam KBSR menggunakan kaedah konvensyenal ujian dan peperiksaan sementara dalam KSSR pula menggunakan Standard Prestasi (yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan) sebagai panduan wajib guru untuk melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ujian dan peperiksaan sudah tidak lagi wajib dilaksanakan.  Pencapaian atau perkembangan murid akan dilabelkan dengan band.  Tidak ada lagi nombor (kedudukan) dalam peperiksaan sebaliknya mereka dilabel dengan band dari 1 hingga 6.  Band 6 adalah aras tertinggi sementara band 1 pula adalah sebaliknya.
Dasar MBMMBI telah merubah struktur mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dari segi komponen, peruntukan bilangan masa p&p, pendekatan serta mewajibkan kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar oleh guru opsyen. 

Sepintas lalu:
  1. j-QAF, bahasa komunikasi (sekarang dikenali sebagai modul elektif), LINUS dan pemulihan  masih relevan dalam KSSR walaupun ia lahir pada zaman KBSR.
  2. Dasar PPSMI sudah tidak relevan dalam KSSR (SPI 12/2011).  Ini bermakna semua perkara yang terkandung dalam dasar PPSMI ini tidak lagi wujud dalam KSSR.
  3. Istilah band, deskriptor, eviden diperkenal dan digunakan dalam KSSR apabila melaksankan pentaksiran berasaskan sekolah.


7.11.11

Kenyataan Akhbar Menteri Pelajaran: PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

KENYATAAN AKHBAR
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.


Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.


Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.


Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.


Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.


Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.


Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.


Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.


Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.


Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.


Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.



Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

24.10.11

KSSR: Dokumen Standard Kurikulum Tahun 2

Dokumen Standard Kurikulum Tahun 2 telahpun boleh dimuat turun. Sila klik di sini.

19.8.11

PBS KSSR Pendidikan Khas

PBS yang telah disesuaikan dengan murid berkeperluan khas, dokumen standard prestasi berdasarkan KSSR Pendidikan Khas telah dibina untuk digunakan sebagai pentaksiran sekolah bagi Tahun 1 dan Tahun 2.  Penataran sokumen tersebut telah diberikan kepada Jurulatih Utama Kebangsaan (JUK) pada 6-10 Jun 2011 oleh Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pembangunan Kurikulum.

PBS Murid Berkeperluan Khas

PBS yang telah disesuaikan dengan murid berkeperluan khas, dokumen standard prestasi berdasarkan KSSR Pendidikan Khas telah dibina untuk digunakan sebagai pentaksiran sekolah bagi Tahun 1 dan Tahun 2. Penataran dokumen tersebut telah diberikan kepada Jurulatih Utama Kebangsaan (JUK) pada 6-10 Jun 2011 oleh Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pembangunan Kurikulum.

6.8.11

Bengkel Pentaksiran Berasaskan Sekolah KSSR

Bengkel ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Sepang di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana. Seramai 56 peserta telah menghadiri bengkel ini yang datangnya dari sekolah-sekolah daerah Sepang dan Putrajaya.
Peserta yang datangnya dari Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil terbukti begitu bermotivasi untuk memahami, menghayati dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi KSSR. Kesungguhan ini bukan sahaja datangnya dari guru mata pelajaran malah terdapat Guru Besar dan Penolong Kanan yang hadir sama.

Terima kasih kepada semua fasilitator dan ahli jawatan kuasa yang hadir membantu menjayakan bengkel ini secara sukarela.

Klik di sini untuk mendapatkan bahan. Masih ada bahan yang belum dimuat naik, harap besrsabar.

20.5.11

Taklimat PBS KSSR

Untuk memastikan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berada di landasan yang betul, Sekolah Taman Putra Perdana akan menganjurkan sesi taklimat dan perbengkelan mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) KSSR pada esok, 21 Mei 2011 (Sabtu) mulai jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.  Sekolah berhampiran yang akan turut sama ialah:
  1. Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2
  2. Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti
  3. Sekolah Kebangsaan Cyberjaya
  4. Sekolah Kebangsaan Dengkil
  5. Sekolah Kebangsaan Kota Warisan
Taklimat ini akan disampaikan oleh pegawai-pegawai yang diundang khas daripada Lembaga Peperiksaan.  Berikut ialah aturcara majlis tersebut:

Agenda:
7.30 Pendaftaran @ Laluan Patriotik 
8.00 Doa - Ustaz Ahmad Zunaidi b. Jinalabdin
8.05 Ucapan Aluan - Pn. Machitah bt. Zakaria (PPD Sepang)
8.15 Sesi Perkongsian 
9.00 Pengenalan PBS: Konsep Standard Prestasi dan Penggunaannya dalam Pentaksiran Sekolah (LPM)
10.00 Rehat/Kudapan
10.15 Sistem Aplikasi PBS (LPM)
11.00 *Bengkel
12.30 Tamat

*Peserta dimasukkan ke dalam kumpulan
Kump 1 :  Matematik
Kump 2 :  Dunia Sains dan Teknologi
Kump 3 :  Bahasa Malaysia / Inggeris
Kump 4 :  Pendidikan Jasmani
Kump 5 :  Pendidikan Islam
Kumpulan mata pelajaran mungkin berubah, tetapi guru-guru boleh masuk ke dalam mana-mana kumpulan kerana
prinsip penggunaan standard prestasi adalah sama.

Para peserta dinasihatkan agar membawa:
  1. Notebook (wifi)
  2. Standard Prestasi
  3. Standard Kurikulum
  4. Buku Teks
  5. Buku Latihan dan Aktiviti
Sewaktu pendaftaran, peserta akan dibekalkan salinan keras (hardcopy):

  1. Konsep Standard Prestasi 21 Mei 2011 (powerpoint) - warna hijau
  2. UPSR 2016 (powerpoint) - warna jingga

Untuk mendapatkan softcopy sila muat turun (download) bahan persembahan powerpoint bagi taklimat ini di sini. 



Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2010
Konsep Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)



10.5.11

Pentaksiran dalam KSSR


Sebagaimana yang dimaklumi murid Tahun 1 di seluruh negara mulai tahun 2011 merupakan perintis terhadap pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini adalah menggantikan kurikulum lama yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR telah mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan. Sungguhpun demikian, sekolah masih tetap perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid ini berada di landasan yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid ini secara holistik dapat dilaksanakan maka pendekatan dan cakupan sistem pentaksiran ini berbeza daripada biasa iaitu melalui Pentaksiran Sekolah yang menggunakan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai apa yang mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran ini. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (berdasarkan peratus markah yang diperolehi dalam peperiksaan) sebaliknya mereka akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap mata pelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam dokumen standard prestasi mata pelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

  1. Bahasa Malaysia
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Pendidikan Islam
  7. Pendidikan Moral
  8. Matematik
  9. Pendidikan Khas
  10. Pendidikan Jasmani
  11. Pendidikan Kesihatan
  12. Dunia Sains dan Teknologi
  13. Dunia Seni Visual
  14. Dunia Muzik

Guru mata pelajaran perlu membina instrumen yang merupakan alat untuk menguji penguasaan atau pencapaian murid bagi sesuatu domain. Instrumen ini boleh dalam bentuk ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Setelah instrumen ini digunakan ke atas murid maka barulah ia boleh dijadikan sebagai evidens. Untuk membina instrumen ini guru perlu merujuk Dokumen Standard Prestasi mata pelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menunjukkan di mana kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya. Perkembangan dalam standard itu terbahagi kepada dua iaitu perkembangan secara mendatar (konstruk) dan perkembangan menegak (band). Pertumbuhan murid dijelaskan dengan satu atau lebih qualifier menggunakan perkataan atau rangkai kata yang betul menggambarkan standard dalam bentuk hasil pembelajaran.


Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, adalah diharapkan agar sistem pendidikan kita mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

30.4.11

Standard Prestasi KSSR Tahun 1

Untuk membina instrumen PBS KSSR Tahun 1, kita memerlukan dokumen Standard Prestasi ini. Sila klik di sini.

standard prestasi TMK, BM, BI, BC, BA, Mat, PI, PM, PJ, PK, Sains, DM & DSV kecuali Bahasa Tamil tidak dapat disertakan kerana character Murasu ada sedikit permasalahan.

26.4.11

Bahan KSSR

Bermula tahun 2011 ini, kohot murid tahun 1 di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil akan melalui kurikulum baru yang dinamakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).  Terdapat sebanyak 13 mata pelajaran yang ditawarkan untuk murid tahun 1 ini iaitu:
  1. Bahasa Malaysia
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Pendidikan Islam
  7. Pendidikan Moral
  8. Matematik
  9. Pendidikan Khas
  10. Pendidikan Jasmani
  11. Pendidikan Kesihatan
  12. Dunia Sains dan Teknologi
  13. Dunia Seni Visual
  14. Dunia Muzik
Namun mata pelajaran yang  akan murid-murid ini pelajari bergantung kepada jenis sekolah dan guru elektif yang dibekalkan.  Sistem menilai pencapaian murid juga turut berubah apabila kementerian memutuskan bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dijadikan sebagai sebahagian daripada asas mengukur pencapaian murid di sekolah rendah.  Jika sebelum ini UPSR merupakan satu-satunya ukuran pencapaian murid di sekolah rendah namun dalam KSSR pencapaian murid di akhir persekolahan akan diukur melalui 40% daripada PBS dan bakinya 60% datang daripada UPSR.  

Cakupan PBS adalah lebih holistik dan ukurannya tidak lagi bergantung semata-mata melalui ujian dan peperiksaan.  Guru akan menggunakan pelbagai jenis instrumen yang akan dijadikan eviden dalam menilai pencapaian murid.  Penilaian ini diadakan sepanjang masa sama ada sewaktu p&p dalam kelas mahupun sewaktu murid sedang melakukan aktiviti.

Fokus Kurikulum
1.      Prasekolah - Perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan kemahiran 3M dan menaakul
2.      Tahap l  Sekolah Rendah (Tahun 1 – 3) - Penguasaan kemahiran 3M dan menaakul, kemahiran TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal,  asas kognitif, sikap, dan nilai
3.      Tahap ll Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6) - Pengukuhan dan aplikasi 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.


Kepada mereka yang masih sukar untuk mendapatkan bahan mengenai KSSR, bolehlah masuk ke laman web Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia ini:
http://www.moe.gov.my/bpk/kssr_docs/mula.htm