... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...
Showing posts with label MBMMBI. Show all posts
Showing posts with label MBMMBI. Show all posts

20.1.12

MBMMBI: Bahan edaran



Dua CD tersebut adalah untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris setiap satunya sementara CD yang satu pula adalah penerangan mengenai MBMMBI. Pastikan di sekolah masing-masing ada kesemua CD ini dan sebaiknya digunakan oleh guru mengikut kesesuaian.


Sehingga kini, hanya 3 jenis CD di atas ini yang telah diedarkan ke sekolah.

17.1.12

SOALAN LAZIM BERKAITAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)



1.
Apakah itu Dasar MBMMBI?

Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.


2.
Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?

Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.

Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah  jenis kebngsaan Tamil.


3.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan  bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p,  transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan  serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.


4.
Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?

Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris.  Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


5.
Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.


6.
Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?

KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
  1. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
  2. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
  3. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
  4. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5

BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:

Latihan untuk bahasa Malaysia:
      i.        Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
    ii.        KDP 4 Minggu
   iii.        Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Latihan untuk bahasa Inggeris:
      i.        Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
    ii.        Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
   iii.        Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris



7.
Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti?(BPG/ELTC/IPGM)

Institut Pendidikan Guru
a.    IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b.    “Teacher Study “ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c.    Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d.    Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a.    Semester 5  –  4 minggu
b.    Semester 6 – 8 minggu
c.    Semester 7 – 12 minggu

Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.

Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.

Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.


8.
Bagaimanakah KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia.  Kursus ini merupakan kursus tambah opsyen.
BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
   i.     Program Intervensi Tambah Opsyen guru-guru Sains dan Matematik sekolah  menengah yang telah berkhidmat antara 1 – 5 tahun
 ii.  Program Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh negara


9.
Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahas Inggeris?

Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.

Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
  1. IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
  2. IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
  3. IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
  4. IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
  5. English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme pensyarah tersebut.   Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah dalam membangunkan program latihan.  Tugas yang dilaksanakan oleh TF adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dankehendak institusi.

Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
a.  Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa Inggeris;
b.    Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
c.    Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
d. Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
e.    Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
f.      Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
g.    Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
h.  Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah


10.
Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?

English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru:
a.    Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
·         Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris, ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan profesional mereka.

b.    Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
·         Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
·         CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih efektif.
·         OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.

Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping menitikberatkan kemahiran berbahasa.


11.
Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.


12.
Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?

Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
  • Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for learning)
  • Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran tentang pembelajaran atau assessment of learning)
Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.

Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.


13.
Adakah soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?

Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020 semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.


14.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?

Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun universiti.

7.11.11

Kenyataan Akhbar Menteri Pelajaran: PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

KENYATAAN AKHBAR
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.


Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.


Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.


Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.


Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.


Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.


Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.


Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.


Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.


Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.


Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.



Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

19.9.11

Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun 2011, mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2010 bertarikh 25 Januari 2010.

Strategi utama memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.

Manakala strategi utama memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris, penyediaan guru dan bahan yang mencukupi lagi berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai Dasar MBMMBI, sila klik pautan berikut
Bahasa Malaysia
Bahasa Inggeris

300 Bantu Pembelajaran BI

50 pengajar dari AS sertai program Fulbright bermula Januari 

SERAMAI 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan dengan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari depan dan ditambah secara berperingkat.

“Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan oleh AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Program tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran bahasa Inggeris sedia ada, sebaliknya mereka menggunakan masa luar sekolah dengan teknik pembelajaran menyeronokkan.
“Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun. Tenaga pengajar akan diberikan orientasi supaya dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di hantar, termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan dan setakat ini maklum balasnya amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan.

“Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai bahasa Inggeris, manakala guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu, kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek perintis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti,” katanya. 

 —–

Sumber: Berita Harian |30 Jun 2011|