... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...
Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

9.10.12

PPPM 2013-2025: Kemahiran Khusus Setiap Murid


 Pengetahuan: Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi.  Selain itu, adalah penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan dengan pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia dan dunia menerusi mata pelajaran Sejarah, Kemanusiaan dan Geografi. Murid juga digalakkan untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang lain seperti Seni, Muzik dan Sukan.

Kemahiran Berfikir: Setiap murid belajar cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan murid menghubungkan pelbagai disiplin ilmu. Lebih penting lagi, dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, mereka mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian masalah, penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif. Dalam sistem pendidikan, bidang ini kurang diberi perhatian menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kreatif di luar konteks akademik.

Kemahiran Memimpin: Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.

Kemahiran Dwibahasa: Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid untuk mempelajarai bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Etika dan Kerohanian: Sistem pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuhi ketika dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.

Identiti Nasional: Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat kukuh cintakan tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.

4.11.11

Bidang Tugas

Antara bidang tugas Guru Besar:
  1. Pentadbiran
  2. Kewangan
  3. Pembangunan Fizikal
  4. Pembangunan Kakitangan
  5. Mengajar
  6. Kurikulum
  7. Kokurikulum
  8. Hal-ehwal Murid
  9. Pengawasan dan Penyeliaan
A. Pentadbiran:
Dalam bidang pentadbiran, Guru Besar adalah bertanggungjawab secara langsung dalam segala pengurusan perjawatan dan perkhidmatan guru dan kakitangan bukan guru di sekolah sebagaimana berikut:
  1. Melaksanakan segala prosedur pelantikan dan pengesahan dalam jawatan semua kakitangan di bawah kelolaan dan bidang kuasanya.
  2. Melaksanakan segala prosedur pelantikan ke jawatan yang lebih tinggi bagi semua kakitangan di bawah jagaannya.
  3. Melaksanakan prosedur bagi menamatkan perkhidmatan perletakan jawatan, persaraan, penggantungan, pelepasan guru-guru dan kakitangan.
  4. Memastikan pelaksanaan dan langkah-langkah pengambilan perkhidmatan dan kursus dalam jawatan.
  5. Mengambil langkah-langkah tertentu yang berhubung kait dengan soal percutian kakitangan di sekolahnya.
  6. Mewujudkan struktur organisasi sekolah bagi menentukan pembahagian kerja dan tugas kakitangan sekolahnya.
  7. Menyediakan senarai tugas dan tanggungjawab guru dan kakitangan sokongan.
  8. Menyimpan dan menyelenggarakan rekod-rekod peribadi guru dan kakitangan bukan guru.
  9. Menyediakan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan, Berkala, Laporan Sulit Khas, dan Laporan Nilaian Prestasi Khas bagi semua kakitangan di bawahnya.
  10. Meluluskan permohonan penggunaan bangunan dan kemudahan yang ada di sekolah mengikut syarat-syarat yang dibenarkan oleh pihak yang berkuasa.
  11. Menentukan sistem penyelenggaraan fail dilaksanakan dengan cara yang teratur dan sempurna.
  12. Merancang dan memastikan pelaksanaan takwim sekolah yang telah disusun dan ditetapkan itu berjalan dengan lancar.
  13. Memastikan bahawa segala retan-retan yang disediakan itu dilakukan dengan sempurna dan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  14. Menjadi pengerusi Lembaga Tatatertib Sekolah.
  15. Menjadi Penasihat Persatuan Ibu Bapa Guru dan memastikan bahawa segala keputusan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
  16. Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di peringkat sekolah yang melibatkan guru dan kakitangan.
  17. Menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah, Zon Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian PelajaranMalaysia atau jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
....bersambung

10.5.11

Pentaksiran dalam KSSR


Sebagaimana yang dimaklumi murid Tahun 1 di seluruh negara mulai tahun 2011 merupakan perintis terhadap pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini adalah menggantikan kurikulum lama yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR telah mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan. Sungguhpun demikian, sekolah masih tetap perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid ini berada di landasan yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid ini secara holistik dapat dilaksanakan maka pendekatan dan cakupan sistem pentaksiran ini berbeza daripada biasa iaitu melalui Pentaksiran Sekolah yang menggunakan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai apa yang mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran ini. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (berdasarkan peratus markah yang diperolehi dalam peperiksaan) sebaliknya mereka akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap mata pelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam dokumen standard prestasi mata pelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

  1. Bahasa Malaysia
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Cina
  4. Bahasa Tamil
  5. Bahasa Arab
  6. Pendidikan Islam
  7. Pendidikan Moral
  8. Matematik
  9. Pendidikan Khas
  10. Pendidikan Jasmani
  11. Pendidikan Kesihatan
  12. Dunia Sains dan Teknologi
  13. Dunia Seni Visual
  14. Dunia Muzik

Guru mata pelajaran perlu membina instrumen yang merupakan alat untuk menguji penguasaan atau pencapaian murid bagi sesuatu domain. Instrumen ini boleh dalam bentuk ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Setelah instrumen ini digunakan ke atas murid maka barulah ia boleh dijadikan sebagai evidens. Untuk membina instrumen ini guru perlu merujuk Dokumen Standard Prestasi mata pelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menunjukkan di mana kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya. Perkembangan dalam standard itu terbahagi kepada dua iaitu perkembangan secara mendatar (konstruk) dan perkembangan menegak (band). Pertumbuhan murid dijelaskan dengan satu atau lebih qualifier menggunakan perkataan atau rangkai kata yang betul menggambarkan standard dalam bentuk hasil pembelajaran.


Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, adalah diharapkan agar sistem pendidikan kita mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.