... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...
Showing posts with label Panduan. Show all posts
Showing posts with label Panduan. Show all posts

7.3.14

Kit Pengenalan Perkhidmatan Awam


Kit pengenalan ini menjelaskan mengenai sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia, perkhidmatan awam dan hal-hal berkaitan perkhidmatan pegawai. Maklumat yang dinyatakan dalam kit pengenalan ini berupaya membantu pegawai untuk mengetahui persekitaran pekerjaannya dengan lebih cepat dan seterusnya membantu pegawai dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan

Klik di sini.


20.9.12

Bahan Pembentangan Kolokium Pengurusan PBS di IAB

Ini ialah bahan  pembentangan bertajuk "Dari Teori Kepada Amalan di Bilik Darjah: Pelaksanaan PBS di SK Taman Putra Perdana, Sepang" dalam KOLOKIUM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH, INSTITUT AMINUDDIN BAKI 2012 petang tadi.
Untuk muat turun, sila klik di sini

18.1.12

1BestariNet: Info

Nama Projek: 1BestariNet
Pembekal Perkhidmatan: YTL Communications
Mula Perkhidmatan: Disember 2011
Tempoh Perkhidmatan: 2 tahun 6 bulan
Rujukan: KP(PMO-ICT)100/02/01(3) bertarikh 28 Disember 2011

1BestariNet ialah perkhidmatan rangkaian akses internet end to end bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran bagi semua sekolah (di Malaysia). Projek Perkhidmatan 1BestariNet ini mula dilaksanakan mulai Disember 2011 untuk tempoh selama 2 tahun 6 bulan.

Perkhidmatan ini adalah lebih baik daripada perkhidmatan sedia ada.  Antara komponen penting dalam perkhidmatan ini ialah:

  1. capaian jalur lebar yang lebih tinggi 
  2. perkhidmatan hosting terurus
  3. perkhidmatan keselamatan terurus
  4. persekitaran pembelajaran maya (Virtual Learning Environment - VLE)
  5. penyelenggaraan VLE
  6. pewujudan Programme Management Office (PMO)
Sehubungan itu semua sekolah perlu memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Kepada pihak pemasang, diharap dapat:
  1. Perkenalkan diri (sebaiknya bawalah kad pengenalan syarikat) serta jelaskan maksud dan tujuan.  Lebih baik dibawa sama surat daripada Kementerian Pelajaran mengenai hal ini kerana dikhuatiri pihak sekolah belum menerima makluman mengenai kerja pemasangan ini.  
  2. Telefon sekolah terlebih dahulu untuk membuat temujanji agar dapat memastikan pegawai yang bertanggungjawab dapat hadir bersama sewaktu kerja pemasangan ini dilakukan.  Ini penting memandangkan pihak syarikat bukan setakat meminta SAP ditandatangani malah juga meminta sekolah membuat pengesahan commisioning sebaik tamat kerja pemasangan dilakukan.
  3. Tunjukkan satu per satu kebolehfungsian setiap alatan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang sepatutnya diperoleh.  Sebaiknya ada tatacara pengujian mengenai enam perkara yang disebutkan di atas (mana yang relevan pada waktu itu)

Nota:
Diharap kita mendapat maklumat yang lebih mendalam mengenai perkara 1 hingga 6 di atas kerana setakat ini kita hanya mampu menguji KPI perkara 1.  Perbandingan boleh dibuat dengan menguji aras latensi, muat turn dan muat naik antara talian Schoolnet dengan 1BeatsriNet ini.  Minta bantuan 

Diharap lima perkara lagi dapat dimaklumkan secara lebih terperinci.  Perkara 2 dan 3 sememangnya sedang kita gunakan, hanya memerlukan dinyatakan dengan lebih jelas bagaimana cara kita boleh membezakan sama ada perkhidmatan tersebut sedang kita terima serta dapat kita membezakan bahawa ia lebih baik daripada perkhidmatan yang sedia ada.  Sementara perkara 4, 5 dan 6 adalah sesuatu yang baru.  Ia perlu dimaklumkan secara rasmi dengan lebih jelas agar  dapat membantu pihak sekolah untuk memastikan segala apa yang patut diperolehi, benar-benar dinikmati.

20.9.11

Prinsip Kerja X-PLUS

X-PLUS merupakan prinsip kerja kaum profesional era GTP Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) - memaksimumkan impak penyampaian dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan.

CEMERLANG (EXCELLENCE)

Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.

Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.



PENGETAHUAN

Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan.

Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin.



LATIHAN

Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.



USAHA

Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif. Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan. Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.

Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.



SEPASUKAN

Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.

19.9.11

Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi


Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 telah menetapkan jenis pakaian yang boleh dipakai oleh pegawai perkhidmatan awam semasa bekerja dan semasa menghadiri upacara rasmi.  Di samping jenis pakaian tersebut, Kerajaan telah bersetuju untuk menggariskan fesyen pakaian alternatif yang sesuai dan boleh dipakai oleh pegawai perkhidmatan awam semasa bekerja dan semasa menghadiri upacara rasmi.


Fesyen Pakaian Alternatif Pegawai Lelaki

  1. Baju kemeja berlengan panjang (Syarat: berseluar panjang.  Lengan baju jangan dilipat. Kemeja hendaklah dimasukkan ke dalam/tuck in)
    1. berkolar baju Melayu cekak musang berbutang tiga
    2. berkolar baju Melayu cekak musang berbutang lima
    3. berkolar Nehru berbutang terselindung
    4. berkolar Mandarin berbutang tiga
  2. Nehru suit (Syarat: diperbuat dari jenis kain dan warna yang sesuai)
    1. berbutang hadapan
    2. berbutang terselindung
  3. Baju kemeja batik Malaysia berlengan panjang (Syarat: Hari Khamis. Berseluar panjang. Lengan baju jangan dilipat. Sekiranya dipadankan dengan kot, baju kemeja batik hendaklah dimasukkan ke dalam/tuck in.)
    1. berkolar baju Melayu cekak Musang berbutang tiga
    2. berkolar baju Melayu cekak Musang berbutang lima
    3. berkolar Nehru berbutang terselindung
    4. berkolar Mandarin berbutang tiga
Pakaian Wanita
Pegawai wanita boleh memakai pakaian sedia ada seperti pakaian kebangsaan baju kurung atau kebaya atau pakaian-pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa bekerja atau semasa menghadiri upacara rasmi selaras dengan peraturan sekarang.

Pengecualian
Pegawai yang disyaratkan memakai pakaian seragam dan dibekalkan dengan pakaian berkenaan hendaklah sentiasa memakainya semasa bekerja seperti yang ditetapkan dalam peraturan sekarang.

16.3.11

Cara Mengemaskini Maklumat Diri di eOperasi

Setiap guru PERLU melakukan 2 perkara ini sebelum 27 Mac 2011:
  1. Daftar diri di egTukar - jika pernah mendaftar sebelum ini tidak perlu daftar baru. Gunakan saja ID Pengguna dan Kata Laluan yang lama.
  2. Kemaskinikan data di eOperasi
Mendaftar di egTukar bukan bermakna kita mahu mohon bertukar sekolah.  Sebaliknya ia hanya semata-mata untuk kita mendapatkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang akan kita gunakan dalam sistem eOperasi.  Namun demikian jika kita nak mohon bertukar sekolah, maka ID Pengguna dan Kata Laluan yang sama juga perlu digunakan.

Langkah-langkah untuk mendaftar dan mengemaskini:
  1. Masuk ke laman web egTukar (http://apps.moe.gov.my/epgo)
  2. Daftar diri - pastikan ada bersama anda nombor gaji. Sebaiknya pilihlah ID Pengguna yang mudah diingati dan dikenali. Dicadangkan guna nama sendiri kerana ID Pengguna ini akan digunakan sepanjang perkhidmatan kita selagi sistem seumpama ini masih relevan. Bagi Kata Laluan, barulah dirasakan sesuai untuk memilih sesuatu yang sukar diteka oleh orang lain.   
  3. Setelah berjaya mendaftar, keluar daripada egTukar.  
  4. Masuk ke laman web eOperasi (http://apps.moe.gov.my/eoperasi).  Login menggunakan ID Pengguna dan Kata Laluan dari egTukar tadi.
  5. Kemaskinikan maklumat berikut:
    1. Maklumat Alamat Semasa dan alamat surat-menyurat (alamat dan no telefon)
    2. Maklumat Pasangan
    3. Maklumat Latihan/Kursus
    4. Maklumat Sejarah Perkhidmatan
  6. Semak semua maklumat-maklumat lain seperti:
    1. Maklumat Peribadi
    2. Maklumat Akademik
    3. Maklumat Ikhtisas
    4. Maklumat Perkhidmatan
  7. Sekiranya terdapat maklumat-maklumat pada para (6) di atas yang tidak tepat atau belum berisi, sila maklumkan kepada PK1 untuk mengemaskinikannya.
  8. PK1 setelah mengemaskinikan semua maklumat guru (para 6), maklumkan kepada guru besar untuk dibuat pengesahan

Skrin di egTukar. Untuk mendaftar klik DI SINI 

Maklumat yang diperlukan untuk mendaftar di egTukar

17.12.10

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC): Panduan

KPM telah mengeluarkan garis panduan tersebut melalui surat KP(PP)SULIT 0022/84/3 Jilid 14(4) bertarikh 8 November 2010.

APC diberi kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang. Perkhidmatan cemerlang adalah perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang Anggota Perkhidmatan Awam yang mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.

Dasar ini dilaskanakan melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 2002 iaitu Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam. Bahagian Sumber Manusia (BSM) selaku Bahagian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar ini telah mengeluarkan Garis Panduan Pemilihan Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran. Ia disediakan berdasarkan:
  1. Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 2002 iaitu Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam
  2. Pekeliling Perkhidmatan Bil 2 tahun 2002 mengenai Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia bagi Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan (panduan Pelaksanaan Sistem Penilaian Prestasi Anggota Perkhidmatan Awam)


Kriteria Pemilihan Penerima APC

A. Kriteria Umum

  1. Lantikan tetap, sementara ataupun kontrak oleh mana-mana pihak berkuasa melantik (spt SPP, SPA)
  2. telah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian
    telah memberi sumbangan kepada organisasi, perkhidmatan awam, komuniti, daerah, negeri, negara dan peringkat antarabangsa
  3. memperolehi markah sekurang-kurangnya 85%

B. Kriteria Tambahan

  1. bebas tindakan tatatertib/SPRM/mahkamah pada tahun yang dipertimbang
  2. mempunyai rekod kehadiran bertugas yang bersih
  3. tidak pernah menerima APC tiga tahun ke belakang
  4. bagi guru di sekolah:
    - pencapaian dalam P&P
    - pencapaian kokurikulum
    - bebas teguran audit

Faktor bangsa, gender dan lokasi tempat bertugas (bandar/luar bandar dan pedalaman) juga boleh diambilkira

Bilangan penerima APC tidak melebihi 8% daripada jumlah anggota yang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian berkenaan. GSTT, GST, Guru Praktikum (j-QAF) tidak boleh diambilkira dalam pengiraan keseluruhan anggota kerana mereka belum lagi dilantik.

22.9.10

Cuti Sakit dan Tidak Hadir Bertugas

http://www.spa.gov.my/portal/page?_pageid=53,51354&_dad=portal&_schema=PORTAL


4. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh Ketua Jabatan (KJ) jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta?

  1. Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan.
  2. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit.
  3. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.
  4. Jika dapat dibuktikan pegawai memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka KJ boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka.
  5. Dengan tindakan di atas KJ tidak mempersoalkan integriti doktor yang memeriksa pegawai. Sebaliknya KJ hanya mempersoalkan integriti pegawai terbabit.


7. Pegawai hanya datang pagi dan petang untuk mengetip kad perakam waktunya. Beliau sebenarnya tidak bertugas. Bolehkah pegawai dikenakan tuduhan ‘tidak hadir bertugas’?

Tuduhan yang sesuai dikenakan kepada pegawai ialah TIDAK HADIR BERTUGAS. Jika tuduhan ini boleh dibuktikan melalui saksi dan bukti berdokumen yang lain (jika ada) yang dapat memperlihatkan tempoh masa beliau tidak bertugas, kesalahan ini sama seriusnya dengan kesalahan tidak hadir bertugas.


13.8.10

PERATURAN MENGENAI KEBENARAN UNTUK MENINGGALKAN PEJABAT DALAM WAKTU BEKERJA DI BAWAH PERINTAH AM PERATURAN 5 BAB 5 - MEMATUHI WAKTU BEKERJA

Sila rujuk JPA(SARAAN)(S)1619 Klt. 16 (7) bertarikh 9 Disember 2010
PERATURAN MENGENAI KEBENARAN UNTUK MENINGGALKAN PEJABAT DALAM WAKTU BEKERJA DI BAWAH PERINTAH AM PERATURAN 5 BAB 5 - MEMATUHI WAKTU BEKERJA

Ringkasan:

  1. Kalau mahu keluar dari premis pejabat/sekolah, perlu dapatkan kebenaran Pegawai Penyelia (PP) terlebih dahulu. Kalau di sekolah, PP ialah Guru Besar.
  2. Biasanya terdapat borang khas yang disediakan oleh pengurusan masing-masing bagi tujuan Keluar dengan Kebenaran (KdK) ini. Kebenaran boleh diberi bagi urusan persendirian pegawai yang terpaksa dilakukan dalam waktu bekerja. Namun sekiranya urusan kerja tersebut boleh dibuat secara online, maka tidak perlu keluar.
  3. PP boleh menggunakan budi bicaranya sma ada untuk melulus atau menolak permohonan tersebut setelah mengambil kira kepentingan perkhidmatan pada waktu tersebut.
  4. Tempoh maksimum KdK ialah 4 jam atau separuh daripada waktu bekerja sehari yang ditolak waktu rehatnya, mana yang lebih rendah.
    Sebagai contoh:
    Waktu bekerja - 7.30 pagi hingga 4.30 petang (9 jam)
    Waktu rehat 1.00 - 2.00 petang (1 jam)
    Oleh itu tempoh waktu kerja sebenar ialah 9 jam - 1jam = 8 jam.
    Separuh daripada 8 jam ialah 4 jam.
    Jika guru, waktu bekerja ialah 7.30 pagi hingga 1.15 petang (5 jam 45 minit). Rehat 20 minit. Jadi waktu bekerja ialah 5 jam 45 minit - 20 minit = 5 jam 25 minit. Separuh daripadanya ialah 2 jam 42.5 minit atau jika digenapkan menjadi 3 jam.
  5. Jika seseorang itu keluar melebihi dari tempoh maksimum yang dibenarkan, pegawai dikehendaki mengambil Cuti Rehat atau cuti lain yang dia berkelayakan
  6. Jika dapatkan rawatan untuk diri sendiri di klinik/hospital, perlu kemukakan time slip atau dokumen pengesahan lain dari doktor
  7. Jika dapat MC, tempoh keluar tersebut dianggap Cuti Sakit
  8. Walau bagaimanpun PP boleh menetapkan pegawai yang mendapat KdK tersebut menggantikan semula tempoh waktu bekerja.
  9. PP perlu memastikan kemudahan ini tidak disalahgunakan dan perlu mengawal dari segi kekerapan penggunaannya.
Dalam Mesyuarat Pengurusan Sektor TKSU (Pengurusan), Kementerian Pelajaran Malaysia (klik di sini) telah memutuskan untuk membenarkan seseorang pegawai keluar sebanyak 2 kali sebulan dengan tempoh masa maksimum 3 jam. Sekiranya melebihi 3 jam, pegawai dikehendaki memohon Cuti Rehat.

21.2.10

PEGAWAI BERPRESTASI RENDAH DAN PEGAWAI YANG BERMASALAH

Cabutan daripada SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 1998

Pegawai Berprestasi Rendah
6. Pegawai berprestasi rendah adalah pegawai yang tidak dapat menyumbang ke arah pencapaian objektif Jabatan dan khususnya mereka gagal mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang telah ditetapkan bersama berdasarkan tahap dan kedudukan jawatan pegawai tersebut. Pegawai seperti ini dikatakan pegawai yang tak produktif, "non performer", tidak mempunyai sikap bersungguh-sungguh, kurang berusaha dan kadangkala mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang rendah, serta mempunyai masalah peribadi dan "interpersonal relationship" baik dengan pihak pengurusan, rakan sejawat atau kakitangan bawahan.

7. Lazimnya Pegawai berprestasi rendah sepatutnya ditunjukkan dengan pencapaian LNPT pada tahap 49.99% dan ke bawah. Pegawai ini sewajarnya memperolehi pergerakan gaji statik. Secara purata, skel peratusan prestasi yang diperolehi adalah 3 atau 4 iaitu pada tahap rendah dan tidak memuaskan bagi sernua aspek penilaian; kegiatan dan sumbangan, penghasilan kerja, pengetahuan dan kemahiran, kualiti peribadi dan hubungan dan kerjasama.

Pegawai Yang Bermasalah
8. Walau pun demikian, kadang-kala seseorang pegawai itu mencapai LNPT yang melebihi 50% ke atas iaitu memperolehi pergerakan gaji mendatar, menegak atau melintang tetapi pada hakikatnya pegawai ini masih dikategorikan sebagai pegawai yang bermasalah. Pegawai dalam kategori ini boleh dilihat antaranya seperti berikut:-
  1. dari segi kualiti peribadi iaitu masalah dari segi hubungannya ('interpersonal relationship') dengan ketua, rakan sejawat, kakitangan bawahan dan juga dengan pelanggan dari luar. Ini disebabkan mereka ini mempunyai sikap agresif atau suka menonjolkan diri atau suka menyalahkan orang lain di samping menganggap dirinya sahaja yang betul. Permasalahan ini merangkumi aspek sikap, tingkah-laku, emosi dan nilai hidup seseorang individu itu;
  2. pegawai yang menghadapi masalah kesihatan mental dan fizikal, yang pada zahir/fizikal memperlihatkan seorang pegawai yang normal tetapi dalam keadaan dan masa tertentu perangai dan tingkahlakunya berubah dan sukar dikawal;
  3. pegawai yang lemah dari segi daya kepimpinan, membuat keputusan dan sebagainya;
  4. pegawai yang tidak dapat memberikan tumpuan kepada tugas hakikinya atau memberi keutamaan kepada tugas-tugasnya atau tidak dapat membawa organisasinya ke arah mencapai objektif yang telah ditetapkan;
  5. pegawai yang tidak dapat menghormati ketua;
  6. pegawai yang tidak dapat bekerja sebagai satu pasukan; atau
  7. pegawai yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perkembangan semasa.

10.2.10

Perkara-perkara yang boleh membawa ke arah tindakan tatatertib atau amaran

  1. Tidak menulis buku rekod
  2. Lewat hadir ke sekolah tanpa sebab
  3. Tidak hadir kerja tanpa sebab
  4. Tidak memohon kebenaran keluar negara
  5. Surat-menyurat kepada kerajaan mengenai perkhidmatan diri mesti melalui Pengetua/Guru Besar kecuali kepada kesatuan guru
  6. Tidak masuk kelas mengajar tanpa sebab
  7. Tidak kemukakan sijil cuti sakit
  8. Memukul pelajar
  9. Kes jenayah

10.7.09

GARIS PANDUAN PROSES PELUPUSAN PERALATAN ICT DI PPD DAN SEKOLAH-SEKOLAH DI NEGERI SELANGOR.

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
2. Merujuk kepada Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan, Perakuan Pelupusan (PEP) Kew. PA-16 hendaklah disediakan bagi perkakasan komputer.
3. Seperti yang telah dimaklumkan melalui surat rujukan JPNS/SPP/PTD/A25092/10/96 Jld.5(25) bertarikh 22 Ogos 2008, seramai 157 orang Pegawai PEP telah dilantik di negeri Selangor. Senarai nama Pegawai PEP tersebut dilampirkan sebagai LAMPIRAN A.
4. Bagi menjelaskan maksud pelantikan tersebut, bersama–sama ini disertakan Garis Panduan Proses Pelupusan Peralatan ICT di PPD dan sekolah-sekolah di negeri Selangor yang dilampirkan sebagai LAMPIRAN B.
5. Untuk makluman tuan/puan, garis panduan ini disediakan untuk memberi maklumat kepada PPD dan sekolah tentang Proses Pelupusan Peralatan ICT. Pada masa ini, Sektor ICT/Pengurusan Maklumat di JPN Selangor dipertanggungjawabkan untuk menjadi Urusetia Pelupusan Peralatan ICT memandangkan Unit Aset yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan aset termasuk aset ICT belum wujud.
6. Sehubungan itu, tuan/puan diminta memanjangkan garis panduan tersebut ke sekolah-sekolah di daerah tuan/puan.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
(ABDULLAH B. NORDIN)
Ketua Sektor ICT/Pengurusan Maklumat
b.p. Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Selangor
Klik Di Sini Untuk Muat Turun Carta Alir Pelupusan Aset Alih Kerajaan (15)