... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

20.9.11

Prinsip Kerja X-PLUS

X-PLUS merupakan prinsip kerja kaum profesional era GTP Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) - memaksimumkan impak penyampaian dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan.

CEMERLANG (EXCELLENCE)

Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud 'go beyond', yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepas pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.

Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti "think the unthinkable" dan "reasson the unreasonable". Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi. "Every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik". Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada jentera pendidikan negara.



PENGETAHUAN

Faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan.

Maka urusan memimpin, mengurus, merancang, melaksana dan memantau wajiblah berasaskan pengetahuan (knowledge-based) bukan berpandukan kebiasaan atau mengikut rutin atau memenuhi kepentingan diri sendiri. Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban. Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan kebiasaan atau rutin.



LATIHAN

Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.



USAHA

Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber dan kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif. Usaha bermaksud "go extra mile". Sedangkan 'kerja' bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan. Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.

Guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang - matlamat dan objektif menjadi kenyataan.



SEPASUKAN

Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.

No comments:

Post a Comment