... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...
Showing posts with label Berita Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Berita Pendidikan. Show all posts

15.9.14

Berita Panas: Soalan UPSR Bocor

Sepanjang minggu lalu hingga hari ini, cerita kebocoran soalan UPSR menjadi topik hangat hampir di kesemua jenis media massa.


Di sini disertakan pautan berita-berita mengenainya.
  1. Percetakan Di Luar Negara Antara Tatacara Pengendalian Kertas Peperiksaan
  2. Soalan Bocor: Polis Siasat SOP Pengendaliannya (Diterbitkan: Ahad, 14 September 2014 12:47 PM)
  3. Soalan UPSR Bocor: Dua Guru Dibebas Dengan Jaminan Polis (Dipaparkan pada Isnin, 15 September 2014)
  4. UPSR: Polis Tahan Empat Guru Di P.Pinang, Perak (Dipaparkan pada Ahad, 14 September 2014)
  5. UPSR: Polis Ambil Keterangan Tujuh Individu (Dipaparkan pada Sabtu, 13 September 2014)
  6. Soalan Bocor UPSR: Tiga Laporan Polis Diterima (Dipaparkan pada Jumaat, 12 September 2014)
  7. UPSR: Polis Tahan Empat Guru Di P.Pinang, Perak (Dipaparkan pada Ahad, 14 September 2014)
  8. UPSR Bocor: Individu Terlibat Tidak Akan Dilindungi (Dipaparkan pada Ahad, 14 September 2014)
  9. UPSR: Polis Ambil Keterangan Tujuh Individu (Dipaparkan pada Sabtu, 13 September 2014)
  10. Soalan Bocor UPSR: Tiga Laporan Polis Diterima (Dipaparkan pada Jumaat, 12 September 2014)

19.3.14

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

18 March 2014
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.

Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.   
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.

Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.   
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran ScienceMathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study). 
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.

20.1.13

Petikan Akhbar: Pelbagai Pendapat Mengenai Cadangan " Malaysia berminat ambil guru Bahasa Inggeris dari India"


Guru tempatan mampu ajar Bahasa Inggeris

 Rejal Arbee

Mutu pendidik dari India dipertikai

Kerajaan baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk mendapatkan guru dari India untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah negara ini. 
Persoalan yang timbul kenapa dari India? Apakah bahasa Inggeris dan pertuturan Inggeris guru dari India itu baik sangat hingga perlu kita berfikir untuk menggunakan khidmat mereka mengajar anak kita belajar dan bertutur bahasa Inggeris? 

Selain itu ada juga graduan berkebolehan mengajar bahasa Inggeris tidak juga diambil, malah ada dalam kalangan mereka yang berterusan menganggur. Kenapa pula perkara demikian boleh berlaku?”

Difahamkan mereka masih menggunakan kaedah pengajaran tahun 60-an yang berfokus kepada pembelajaran ‘rote learning’ iaitu belajar secara menghafal. Inikah yang kita kehendaki? Pada hal kaedah itu sudah ketinggalan zaman.

Selain itu, pertuturan Inggeris kebanyakan daripada rakyat negara itu bukan saja tidak seperti dikehendaki tetapi boleh mengelirukan dengan telor pertuturan yang tentunya kita tidak mahu anak kita mengikutinya. 

Apakah pihak berkuasa mahukan anak kita bertutur bahasa Inggeris dengan telor India? Malah pertuturan ‘Manglish’ oleh sesetengah rakyat negara ini adalah lebih baik daripada pertuturan mereka itu. Jadi bagaimana agaknya cadangan itu boleh dibuat?

Sebelum ini kita juga pernah menimbulkan kemungkinan membawa masuk guru dari Australia untuk mengajar bahasa itu. 
Umum mengetahui bagaimana orang Australia berucap bahasa mereka dengan sebutan yang amat mengelirukan. Misalnya ‘today’ dipertuturkan sebagai ‘to die’. 

Alangkah kelirunya murid kita nanti menerima pengajaran bahasa Inggeris dengan pertuturan yang carca marba sedemikian iaitu ada yang di pengaruhi guru dari India dan ada pula dari Australia dengan pertuturan Inggeris yang unik bagi kedua negara itu. 

Persoalan juga timbul apakah pertubuhan guru kita sudah dibawa berbincang mengenai cadangan terkini itu? 

Kenapa agaknya timbul pelbagai cadangan demikian ini? Apakah kita betul-betul ketandusan guru untuk mengajar bahasa Inggeris? Kalau betul berkurangan apakah yang telah diusahakan untuk meningkatkan jumlah mereka yang berkebolehan untuk mengajar bahasa itu dengan baik?

Apa sebenarnya yang melanda Kementerian Pelajaran hingga timbul pelbagai cadangan ini?

Wujud ‘red tape’

Sesetengah kalangan guru mengatakan negara tidak menghadapi masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris kiranya murid-murid sekolah hanya dikehendaki dapat menghadapi peperiksaan kebangsaan. 

Ada yang menyalahkan wujudnya ‘red tape’ di Jabatan Pelajaran yang membawa kepada kekurangan guru Bahasa Inggeris di sesetengah sekolah tertentu saja bukannya secara menyeluruh. 

Kekurangan sebenarnya ialah terhadap guru yang fasih bertutur bahasa itu dan guru yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan baik. Dikatakan juga bahawa walaupun ramai guru telah diberi latihan mengajar Bahasa Inggeris tetapi malangnya ramai antara mereka tidak berusaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris di kalangan mereka sendiri.

Perli bertutur bahasa Inggeris

Malah mesyuarat antara guru yang mengajar Bahasa Inggeris pun dikatakan dilangsungkan dalam bahasa Melayu. Tentunya penggunaan bahasa Melayu ada tempatnya seperti juga penggunaan bahasa Inggeris. 

Dikatakan ada pula guru yang suka memperli guru yang berusaha bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan mereka yang mengajar bahasa itu. Inilah masalahnya kerana di antara kita yang suka merendah-rendahkan orang lain tanpa mahu mengakui kelemahan sendiri, di samping tidak pula suka melihat orang lebih baik dari diri sendiri.

Kini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik media sebagai berkata, kementeriannya akan mengkaji dahulu apakah guru dari India itu perlu diambil dan ia tidak akan dilaksanakan dengan tergesa-gesa. 

Inilah yang sepatutnya supaya apa-apa keputusan adalah yang terbaik demi kepentingan negara dan kehendak murid-murid sekolah kita. 

Dalam pada itu sepucuk surat dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa ramai guru yang berkelayakan mengajar bahasa Inggeris tetapi tidak pula diambil untuk mengajar hanya kononnya kerana tidak mempunyai cukup pengalaman. 

Kalau mereka ini tidak diambil untuk mengajar bagaimana mereka mahu memperoleh pengalaman? Selain itu ada juga graduan yang berkebolehan mengajar bahasa Inggeris tidak juga diambil, malah ada dalam kalangan mereka ini berterusan menganggur. Kenapa pula perkara demikian boleh berlaku?

Persoalan juga timbul apa sebenarnya yang kita mahu dengan anak-anak lepasan sekolah kita? Sekiranya murid-murid itu dikehendaki boleh memaham, menulis dan khususnya bertutur bahasa Inggeris dengan baik tentunya bukanlah diajar oleh guru dari India.

Kalaupun benar kita mengalami kekurangan guru mahir untuk mengajar bahasa Inggeris, apakah guru demikian yang sudah bersara tidak boleh diambil kembali sebagai guru kontrak?

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Cadangan ambil guru bahasa Inggeris dari India perlu kajian mendalam - NUTP


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar di negara ini. 

Presidennya Hashim Adnan berkata perbincangan perlu dilakukan dengan pakar dalam bahasa itu bersama NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan menguntungkan kerajaan. "Kajian lebih mendalam perlu diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih baik perbincangan dibuat dengan profesor bahasa Inggeris di negara ini bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah pasti akan menguntungkan kerajaan," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini. 


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu. 

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini. 

Di bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar. 

Hashim turut mencadangkan supaya guru-guru bahasa Inggeris yang sudah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah untuk mengajar pelajar Malaysia. 
"Diharap (cadangan itu) tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan. Budak-budak akan menjadi bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar belakang," katanya. 

Beliau juga berkata adalah memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan saja menjadi beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara. 

Bagaimanapun, katanya bayaran untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa berkenaan. 

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar. 

"Guru bahasa Inggeris Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh terima, tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari England. 

"Sebab kita dulu belajar bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam ini," katanya. 

Beliau juga berkata jika kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada negara berkenaan, adalah lebih baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah kepakaran mereka. 

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan berkenaan berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad ke-19 di dominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini. 

"Daripada sejarah yang dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara. Sejarah sudah lama berakar umbi di negara kita. 

"Jika guru-guru dari India dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu," katanya. 

Beliau berkata guru yang akan dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10 kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik untuk mengajar di negara ini. 

"Di India juga, sistem pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah. 

"Jadi, atas sebab-sebab itu, saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda GERAKAN, Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan. 

Beliau berkata antara masalah itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia. 

"Berdasarkan pengalaman saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah laku pelajar. 

"Sebagai contoh, sebahagian pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap. 

"Tetapi mereka gagal menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak dicabar," katanya. 

Justeru katanya, malu atau takut diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat demikian. 

"Bagaimanapun, langkah pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan di masa depan kerana kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara. Lebih ramai guru bahasa Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada orang luar," katanya. - BERNAMA 

Hasrat bawa masuk guru dari India perlu diteliti

 Teo Kok Seon

Tenaga pendidik negara asal bahasa Inggeris lebih efektif

Cadangan untuk mengambil guru Bahasa Inggeris dari India, bagi mengatasi kemerosotan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita, tidak dapat dinafikan adalah hasrat murni. Bagaimanapun, ia perlu diteliti sehemat yang mungkin sebelum dilaksanakan. 
Meskipun bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi bersama di India sejak 1967, dan berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai bahasa penting dalam sistem perundangan, pentadbiran kerajaan, pendidikan menengah dan pengajian tinggi, angkatan tentera, media, perdagangan dan lain-lain lagi, ia adalah bahasa pinjaman yang dikenakan kepada rakyat India melalui proses penjajahan. 

Dalam mempelajari bahasa Inggeris, khususnya diajar pihak luar, kita perlu berwaspada agar warisan dan jati diri kita terpelihara utuh"

Bukan bahasa peribumi

Justeru, peminjaman bahasa Inggeris yang kini dituturkan sepertiga penduduk India adalah bukan bahasa peribumi. Dengan ini, akar umbinya berada di tempat lain, iaitu Great Britain atau United Kingdom. Sehubungan ini, United Kingdom bersama-sama dengan Ireland, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand adalah tapak tradisional bahasa Inggeris.

India dan lain-lain, seperti Singapura hanya tempat tersebar dan bertapaknya bahasa Inggeris secara dominan melalui penjajahan British. Ini berlaku apabila bahasa Inggeris terus didukung dalam pelbagai institusi kebangsaan negara ini, walaupun sudah terlepas daripada belenggu penjajah.

Bahasa Inggeris tetap penting 
Malaysia walaupun dijajah oleh British, tidak menggunakan bahasa Inggeris secara dominan dalam institusi kebangsaannya selepas memperoleh kemerdekaan. Sebaliknya kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung kedua-dua fungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan ini, bahasa Melayu adalah asas kemerdekaan kita. Walaupun begitu, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, tidak pernah dipandang enteng dan ia adalah bahasa utama kedua di negara ini.

Dalam konteks memperoleh bantuan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris bagi anak bangsa, kita perlu mendapat tenaga pendidik dan yang berkaitan lain dengan pendidikan bahasa Inggeris, dari negara yang merupakan tapak tradisional di mana bahasa Inggeris adalah bahasa perdana di sana. Oleh itu, India bukan tempatnya. 

Tindakan kita mendapat khidmat dari Amerika Syarikat melalui Program Sarjana Fullbright dalam bentuk guru pakar dan pembantu yang adalah penutur jati bahasa Inggeris, adalah langkah betul. Cadangan untuk menghidupkan semula Program Peace Corps yang popular pada 1960-an, agar sukarelawan Amerika Syarikat dapat ditempatkan di Malaysia, untuk antaranya mengajar bahasa Inggeris, adalah juga jalan yang baik.

Walaupun penjajah British yang berjaya menyebarkan bahasa Inggeris pada akhir abad ke-19, Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi besar pada abad ke-20 bertanggungjawab meletakkan bahasa Inggeris pada tempatnya sekarang sebagai bahasa dunia terpenting.

Ragam bahasa Inggeris India 

Dengan status sebagai bahasa dunia, bahasa Inggeris kini terdiri daripada beberapa ragam yang distingtif, yang kadangkala boleh menimbulkan masalah kefahaman, sekalipun dengan ragam Amerika dan British yang boleh dikira sudah mantap. Dalam hal ini, bahasa Inggeris India meskipun ragam standardnya, adalah satu lagi ragam yang tidak dapat dinafikan banyak dipengaruhi budaya setempat dengan pelbagai aspek peradaban di seluruh benua itu, selain pelbagai ciri kenahuan unik.

Dengan ini, bahasa Inggeris yang diajar itu akan dipelajari bersama-sama dengan pengetahuan dan budi India yang tersemat padanya. Ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa dan budaya itu berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Begitu jugalah dengan bantuan yang diterima dari Amerika Syarikat. Sehubungan ini, ia perlu disaring agar bahasa Inggeris yang diajar itu tidak sekali-kali mengandungi pengalaman, pandangan hidup, moral, etika dan pemikiran barat, yang bertentangan dengan pegangan hidup kita.

Oleh itu, dalam mempelajari bahasa Inggeris, khususnya yang diajar pihak luar, kita perlu berwaspada agar warisan dan jati diri kita senantiasa terpelihara utuh. Sesungguhnya bahasa itu mempunyai kuasa yang boleh mengubah pemikiran dan tingkah laku kita. Oleh itu, kita tidak boleh cuai dalam hal ini, walaupun bahasa itu hanya alat komunikasi, ia sebenarnya ikut memupuk nilai dan tradisi sesuatu bangsa. 

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Petikan Akhbar: Malaysia berminat ambil guru Bahasa Inggeris dari India


Malaysia berminat ambil guru Bahasa Inggeris dari India


NEW DELHI: Malaysia berminat untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran itu di tanah air, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

"Salah satu cadangan yang saya bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada pagi tadi ialah untuk kita menerima sejumlah guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar kita di Malaysia," katanya.  Beliau berkata, Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu.


"Ia sebagai menokok tambah usaha yang kita jalankan dengan pihak Amerika Syarikat yang sudah menghantar sebanyak 75 guru dari sana untuk mengajar Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat dua hala selama 30 minit dengan Manmohan di sini, hari ini.

Ditanya bila penyumberan guru itu akan bermula, Najib berkata :"Kami akan bincangkannya kemudian. Perlu ada perjanjian terlebih dahulu. Kemudian saya perlu rujuk kepada Kementerian Pelajaran dan ia bergantung kepada terma dan syarat, kami akan rumuskannya dan beritahu jumlahnya kemudian."

Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Tan Seng Sung
.
Malaysia mahu kerjasama dengan India bersifat pelbagai dan komprehensif, kata Najib yang berada di New Delhi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula Khamis.
"Memandangkan bahawa mereka menghantar begitu ramai pelajar mereka ke luar negara, ada kemungkinan mereka boleh melihat pada Malaysia sebagai alternatif untuk menghantar pelajar mereka.

"Malaysia juga perlu adakan lebih banyak promosi "Pameran Pendidikan" dan sebagainya kerana mereka kurang pengetahuan mengenai kemampuan kita menyediakan pendidikan berkualiti dengan kos yang begitu kompetitif", kata Najib.

- BERNAMA

Petikan Akhbar: Kesulitan sistem PBS diatasi


ARKIB : 10/12/2012Share on linkedin

Kesulitan sistem PBS diatasi

Melalui PBS, murid dan pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan peperiksaan semata-mata.
Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini.
Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.
''Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.
Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.
Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.
Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.
Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.
Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.
PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.
Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121210/pe_01/Kesulitan-sistem-PBS-diatasi#ixzz2ITYd2giE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Petikan Akhbar:WiFi 4G di sekolah tahun ini


WiFi 4G di sekolah tahun ini

 Daripada Mahfar Ali di Alabama
Muhyiddin dan Noorainee melawat Daphne High School  sempena lawatan kerja   ke Alabama.Muhyiddin dan Noorainee melawat Daphne High School sempena lawatan kerja ke Alabama.
Alabama: Kementerian Pelajaran menyasarkan semua 10,066 sekolah akan dilengkapi kemudahan internet WiFi 4G dalam tempoh setahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini sebahagian sekolah sudah dilengkapi WiFi, dan kemudahan itu serta peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) lain akan diperluaskan menerusi program Transformasi Pendidikan Negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas melawat Daphne High School di sini, sempena lawatan kerja dua hari ke Alabama, Amerika Syarikat, berakhir semalam.


Sekolah yang mempunyai kira-kira 1,200 pelajar itu, tahun lalu mendapat pengiktirafan Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat menerusi program National Blue Ribbon Schools, yang menyamai konsep Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia.

Muhyiddin yang meluangkan masa hampir dua jam di sekolah itu, turut tertarik dengan kaedah sekolah berkenaan menggunakan ICT dalam pembelajaran.


Sekolah bekal komputer

“Setiap pelajarnya guna komputer riba di kelas yang dibekalkan sekolah, tapi mesti dipulangkan selepas sesi persekolahan. Komputer ini pula diinsuranskan.
“Dalam jangka panjang, kaedah ini menjimatkan perbelanjaan kerana komputer boleh digunakan pelajar lain dan apabila rosak ada insurans. Kita juga mungkin boleh menggunakan kaedah ini,” katanya yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Ditanya kemungkinan kementerian juga membenarkan pelajar membawa telefon bimbit seperti diamalkan di sekolah berkenaan, Muhyiddin menjelaskan perkara itu belum diputuskan lagi.

“Kita akan teliti sama ada pelajar kita capai tahap seperti pelajar di sini,” katanya.

Mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan, beliau yang sebelum itu mendengar taklimat pengetua, Dr Meredith Foster, berkata pelajarnya fokus terhadap bidang masing-masing dan dapat menggunakan kemahiran berfikir serta kreatif.

“Cara pembelajarannya lebih holistik, tidak tertumpu akademik tapi kokurikulum turut diberi penekanan. Mereka mempelajari dan mengikuti perkembangan negara di luar Amerika,” katanya.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan menyoal beberapa pelajar mengenai pembelajaran dan kegiatan kokurikulum disertai, selain menjawab pertanyaan yang dikemukakan pelajar.


Lebih berdikari

“Mereka menjawab dengan berani, tahu apa yang dicakap dan lebih berdikari. Sikap dan keupayaan begini yang harus kita pupuk di kalangan pelajar Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan menerusi penggunaan ICT mungkin sebuah sekolah di Malaysia boleh dipilih untuk menjalin hubungan kerjasama dengan Daphne High School.

Petikan Akhbar: Pendidikan jasmani dilonjak


Pendidikan jasmani dilonjak

 Mahfar Ali | mafa@bharian.com.my
Muhyiddin pada majlis anugerah Doktor Kehormat Antarabangsa 2012 USSA untuk beliau di kampus akademi itu.Muhyiddin pada majlis anugerah Doktor Kehormat Antarabangsa 2012 USSA untuk beliau di kampus akademi itu.
Alabama: Pendidikan jasmani di sekolah menerima lonjakan baru apabila kumpulan
pertama 1,018 guru selesai menjalani program Diploma Antarabangsa Pendidikan
Jasmani, bulan lalu. Program yang bermula Jun lalu itu diadakan dengan kerjasama United States SportsAcademy (USSA) dan mendapat kelulusan Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA).



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu diadakan selaras dengan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ yang diperkenalkan untuk membentuk siasah pelajar dan melahirkan lebih ramai juara sukan.

“Pembangunan sukan mesti bermula di sekolah. Sebab itu kita memerlukan guru terlatih,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua harinya ke Alabama, Amerika Syarikat.

Ketika di sini, Muhyiddin melawat sekolah berprestasi tinggi Daphne High School dan menerima anugerah Doktor Kehormat Antarabangsa 2012 USSA di kampus akademi itu.
Muhyiddin adalah pemimpin Malaysia ketiga menerima anugerah itu selepas bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (2008) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1990 (ketika itu Menteri Pertahanan).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif USSA, Dr Thomas P Rosandich, dalam ucapan pada majlis penganugerahan itu, berkata inisiatif berwawasan Muhyiddin memperkenalkan program sukan untuk pelajar mendorong USSA membangunkan program diploma bagi negara Asia Tenggara.

USSA yang diasaskan Rosandich pada 1972, kini menjalin kerjasama dengan lebih 65 negara.

Rosandich berkata, Muhyiddin memperkenalkan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ dan melihat keperluan untuk menyediakan latihan teratur untuk guru pendidikan jasmani yang menyelia pembangunan pelajar dalam bidang sukan.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri juga banyak menyumbang dalam meningkatkan pencapaian sukan di Malaysia, termasuk ketika Sukan Komanwel pada 1998 di Kuala Lumpur.

Muhyiddin dalam ucapannya pula berkata, sukan memainkan peranan penting bukan saja dalam membentuk siasah diri, tetapi mempunyai kesan penggandaan dalam menyatukan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof serta Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim.

19.9.11

Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun 2011, mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2010 bertarikh 25 Januari 2010.

Strategi utama memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.

Manakala strategi utama memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris, penyediaan guru dan bahan yang mencukupi lagi berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai Dasar MBMMBI, sila klik pautan berikut
Bahasa Malaysia
Bahasa Inggeris

300 Bantu Pembelajaran BI

50 pengajar dari AS sertai program Fulbright bermula Januari 

SERAMAI 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan dengan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari depan dan ditambah secara berperingkat.

“Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan oleh AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Program tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran bahasa Inggeris sedia ada, sebaliknya mereka menggunakan masa luar sekolah dengan teknik pembelajaran menyeronokkan.
“Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun. Tenaga pengajar akan diberikan orientasi supaya dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di hantar, termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan dan setakat ini maklum balasnya amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan.

“Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai bahasa Inggeris, manakala guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu, kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek perintis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti,” katanya. 

 —–

Sumber: Berita Harian |30 Jun 2011|

29.11.10

Tahniah KPPM Baru


Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada 4 November 2010 yang lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran
Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.

17.2.10

Kurikulum baru mantapkan bahasa Inggeris tahun depan

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat rendah serta menengah selewat-lewatnya Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan pelbagai kaedah pengajaran sedia ada dan tambahan termasuk muzik, sastera, 'choral speaking' dan sebagainya.

"Pihak kementerian akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut selepas duduk semeja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan serta pakar-pakar dalam bahasa Inggeris bagi merangka kertas konsep (cadangan) untuk diteliti, kita anggarkan empat hingga lima bulan bagi menyiapkan kurikulum itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pakar-pakar bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara turut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulum itu.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Memartabatkan Profesion Keguruan yang dihadiri guru, kesatuan guru serta NGO dari seluruh negara. Seminar dua hari anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan masalah serta mencari hala tuju baru bagi profesion keguruan.

Alimuddin berkata, keputusan untuk memperkenalkan kurikulum baru itu dibuat berikutan pengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengarahkan PPSMI diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Katanya, kementerian juga sedang dalam peringkat menyediakan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) termasuk di Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menggunakan 100 peratus Bahasa Inggeris dalam pembelajarannya.

"Ini bagi menyediakan bakal-bakal guru berkenaan agar menguasai sepenuhnya bahasa itu sebelum mengajar dan proses penyediaan ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun," katanya lagi.
- BERNAMA