... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

25.4.13

Guru cuti dua Sabtu sebulan


Berita Harian 2010/06/05 - 06:32:53 AM

Pengetua wajib beri rehat untuk kurangkan beban tugas pengajar

PASIR PUTEH: Pengetua dan guru besar wajib memberi rehat kepada guru pada setiap dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan untuk mengurangkan beban tugas mereka, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata mereka tidak boleh memaksa guru-guru bertugas pada setiap hari Sabtu dengan aktiviti kokurikulum dan akademik.
Surat pekeliling mengenainya sudah dikeluarkan kepada setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Hari Kecemerlangan sekolah-sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini semalam.


BERNAMA memetik Alimuddin berkata, pihak sekolah bagaimanapun boleh mengadakan aktiviti luar pada dua hari Sabtu setiap bulan dengan syarat merancang jadual lebih awal untuk memberi ruang guru merancang aktiviti keluarga.

Selain itu, beliau berkata, jika Sabtu jatuh pada hari kelepasan am, sekolah sama sekali tidak boleh memaksa guru bertugas.

Beliau mengulas rungutan guru yang dipaksa guru besar dan pengetua supaya mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu, menyebabkan mereka tiada waktu rehat secukupnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mempertimbangkan supaya guru hanya bekerja lima hari seminggu, sama seperti penjawat awam lain.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar akur surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Katanya, ini kerana tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru sendiri.

“Jika guru dikerah mengajar setiap Sabtu, ia boleh menyebabkan mereka hilang fokus akibat keletihan apabila mengajar pada minggu berikutnya.

“Keputusan supaya guru wajib diberi rehat dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan adalah langkah yang tepat, namun NUTP tetap berpendapat guru wajib rehat pada setiap Sabtu,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kementerian mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 yang memberi kelonggaran kepada sekolah melaksanakan program pendidikan tidak lebih dua kali Sabtu dalam sebulan.




Bukan semua guru hadir aktiviti Sabtu

 

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan ‘Bakal DG48, Pinggiran Putra, Putrajaya’ yang disiarkan ruangan ini bertarikh 22 Mei lalu bertajuk ‘Pentadbir sekolah wajar ubah sikap’.

Isu yang dibangkitkan oleh Bakal DG48 ialah ‘guru dipaksa menghadiri mesyuarat dengan pengetua tiga kali seminggu dan taklimat dua kali seminggu.
Kalau tak cukup lima hari seminggu terpaksa dibuat pada Sabtu. Guru diarah membuat kerja tidak berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) seperti Hari Q sekolah.’


Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan (PPWP) Putrajaya mengambil serius perkara ini dan menjalankan siasatan terhadap aduan Bakal DG48. PPWP Putrajaya mengeluarkan surat ‘kajian mengenai beban guru’ bertarikh 24 Mei lalu (KPM.PPWPP.(S).620-1/5/8) bagi mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat yang dijalankan pihak sekolah dalam satu minggu dan aktiviti dijalankan pada Sabtu bermula Januari hingga Jun 2010.

Di Wilayah Persekutuan Putrajaya ada sebanyak 20 sekolah termasuk sekolah menengah dan sekolah rendah sudah memberikan maklum balas melalui borang ‘kajian mengenai beban guru’ yang diberikan.

Hasil siasatan dan pemantauan dijalankan PPWP Putrajaya mendapati aduan Bakal DG48 adalah tidak berasas. Mesyuarat sekolah yang membabitkan semua guru hanya diadakan sekali seminggu, manakala mesyuarat membabitkan ahli jawatankuasa tertentu diadakan mengikut keperluan.

Berdasarkan laporan aktiviti Sabtu dari sekolah Putrajaya pula, didapati pihak sekolah hanya menjalankan program pendidikan yang bersifat akademik dan kokurikulum pada Sabtu mengikut Surat Pekeliling ikhtisas Bil.8/2005 : Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu.
Untuk makluman aktiviti dijalankan juga tidak semuanya membabitkan semua guru. Hanya guru yang terbabit yang perlu hadir ke aktiviti itu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

3.4.13

Pegawai Berkhidmat di Luar Masa Biasa

Sebagai Ketua Jabatan, Guru Besar ada kalanya memerlukan guru atau stafnya bertugas di luar masa  biasa mereka bertugas.  Apakah punca kuasa yang membolehkan Guru Besar berbuat demikian?  


Perintah Am Bab G para 17 Ketua Jabatan boleh menghendaki pegawai berkhidmat di luar masa biasa.
Walau apapun perbekalan-perbekalan lain dalam bab ini (G), termasuk Perintah-perintah Am 3 dan 10, seseorang Ketua Jabatan atau pejabat boleh menghendaki mana-mana pegawainya bertugas di luar masa yang ditetapkan apabila pada pandangannya ini adalah untuk kepentingan awam atau kepentingan perkhidmatan.  Ini termasuklah kehadiran ke pejabat lebih awal atau tinggal di pejabat lebih lewat daripada masa-masa yang ditetapkan, atau hadir di pejabat pada hari-hari minggu atau kelepasan am.

*Perintah Am 3 dan 10 Menunaikan sembahyang Jumaat



Guru Cemerlang


DEFINISI GURU CEMERLANG


Guru Cemerlang

PENGENALAN


Tujuan utama Kerajaan memperkenalkan laluan kenaikan pangkat sebagai guru Cemerlang adalah untuk memberi peluang kepada guru-guru yang benar-benar cemerlang dan menyerlah dalam mata pelajaran yang diajar ataupun di dalam bidang pengkhususan tanpa perlu menukarkan ke jawatan pentadbiran. Dengan cara ini, guru-guru yang bermotivasi tinggi, mahir, berpengalaman dan pakar dalam sesuatu bidang tertentu dapat terus dikekalkan untuk mengajar di sekolah bagi memperkasakan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)
Pelaksanaan konsep Guru Cemerlang juga bertujuan untuk menjadikan guru-guru yang dilantik sebagai role model yang akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada guru lain untuk sama-sama bersaing meningkatkan lagi tahap pencapaian kualiti P&P di sekolah masing-masing. Kewujudan Guru Cemerlang diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi sesebuah sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik yang lebih cemerlang dan gemilang.

PUNCA KUASA

Pada tahun 1993, Mesyuarat Jemaah Menteri telah pun meluluskan memorandum bertajuk “ Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan: Cadangan Yang Cemerlang”. Hasilnya, konsep Guru Cemerlang telah dijadikan sebagai satu laluan kenaikan pangkat yang baru mulai tahun 1994.

KUOTA GURU CEMERLANG

Pada tahun 1994, kuota asal Guru Cemerlang yang telah diluluskan dibawah SSB adalah sebanyak 1,000 bagi kenaikan pangkat dari Gred DG3 ke DG2 dan sebanyak 1,600 jawatan bagi kenaikan pangkat dari Gred D6 Ke Gred DG5.
Pada tahun 2004, Kerajaan telah mewujudkan 12 kuota Guru Cemerlang Gred Khas C. Pada tahun 2006, Kerajaan telah menambah kuota untuk gred sisipan Gred DGA32,DGA34, DG44 dan Gred DG52 menjadikan jumlah kuota keseluruhan Guru Cemerlang sebanyak 9,374.
Mulai tahun 2006, konsep Guru Cemerlang Gred Khas C yang pada awalnya dikhaskan untuk guru-guru di sekolah turut diperluaskan ke peringkat institusi-institusi lain seperti IPG dan KM.
Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang pada 26 Mac 2009 telah meluluskan pertambahan kuota jawatan Guru Cemerlang menjadikan kuota keseluruhan jawatan Guru Cemerlang menjadi 14,327 jawatan (Jadual 3)
Jadual 3: Kuota Guru Cemerlang
GredKuota Mengikut Tahun Diluluskan
1994200420062009
Khas C-122436
DG54--100134
DG52--250336
DG481,000(DG2)-1,0001,345(SM)
173(SR)
DG44--4,0005,379(SM)
1,737(SR)
DGA38---237
DGA34--800950
DGA321,600(DG5)-3,2004,000
Jumlah2,600129,37414,327

SYARAT-SYARAT PEMANGKUAN

Bagi melayakkan calon untuk memangku Guru Cemerlang , calon perlu memenuhi syarat-syarat pemangkuan yang ditetapkan. Syarat-syarat pemangkuan terbahagi kepada (2) bahagian iaitu syarat-syarat khusus.

SYARAT-SYARAT UMUM

Disahkan dalam perkhidmatan (bagi urusan pemangkuan ke Gred DG44(KUP) sahaja):
  1. Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan LNPT bagi 3 tahun terakhir;
  2. Bebas daripada tindakan tatatertib;
  3. Telah mengisytiharkan harta;
  4. Lulus tapisan keutuhan SPRM;
  5. Bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan;
  6. Diperakukan oleh Ketua Jabatan / Perkhidmatan.
Syarat-syarat Khusus
  1. Bagi Gred DGA32(KUP): sekurang-kurangnya 5 tahun mengajar termasuk 3 tahun mengajar mata pelajaran kepakaran:
  2. Bagi Gred DG44(KUP): sekurang-kurang 5 tahun mengajar termasuk 3 tahun terakhir mengajar mata pelajaran pakar;
  3. Bagi Gred DG48(KUP); telahdinaikkanpangkat ke Gred DG44(KUP)/Gred DG44 hakiki;
  4. Bagi Gred DG52(KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG48(KUP)/Gred48 hakiki;
  5. Bagi Gred DG54(KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG52(KUP)/Gred DG52 hakiki;
  6. Bagi Gred Khas C (KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG54(KUP)/Gred DG54 hakiki.
Dipetik dari Laman Web KPM pada 3 April 2013